PETALING JAYA: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) kini bertukar nama selepas dinaik taraf sebagai Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS).
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd, Yusof memaklumkan,selepas penaiktarafan itu KUIS kini bergelar sebagai (UIS) dan setanding dengan institusi pengajian tinggi lain.
“Dengan penaiktarafan itu, institusi tersebut dapat dilihat setanding dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang lain,” tambah beliau.
Menurut MAIS, UIS perlu kekalkan momentum kecemerlangan sebagai sebuah IPT dan meningkatkan penghasilan pelajar cemerlang serta berkualiti dalam bidang profesional dan hebat di sisi agama.
UIS juga perlu mengorak langkah komprehensif serta mengambil peluang agar dapat merealisasikan kejayaan demi kejayaan apabila menjadi sebuah universiti.
MAIS juga menyeru agar ibu bapa dan pelajar, memilih UIS sebagai institusi untuk melanjutkan pengajian yang berteraskan syariah Islamiah di negeri Selangor ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim, Anggota MAIS, Salehuddin Saidin dan Rektor KUIS, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah. –UTUSAN