Kes terowong dasar laut: Laporan forensik lengkap gagal diserah - Utusan Malaysia

Kes terowong dasar laut: Laporan forensik lengkap gagal diserah

LIM Guan Eng hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya berhubung empat pertuduhan membabitkan projek pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan berhubung kes projek terowong dasar laut melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng gagal menyerahkan laporan forensik perbualan aplikasi WhatsApp lengkap antara dua saksi pendakwaan lain walaupun selepas hampir satu bulan Mahkamah Sesyen memerintahkan laporan itu diserah kepada pasukan pembelaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat berkata, laporan forensik disediakan seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan saksi pendakwaan G. Gnanaraja dan Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli bagi kes jenayah lain di Mahkamah Sesyen Shah Alam telah ditutup atau tiada tindakan lanjut (NFA).

Kedua-dua ahli perniagaan itu merupakan saksi pendakwaan terhadap Guan Eng berhubung projek terowong dasar laut.

Disebabkan itu, Mahadi tidak dapat menyerahkan laporan forensik seperti yang dituntut kerana tidak pasti sama ada laporan itu wujud atau tidak selain tidak terlibat dengan kes saksi pendakwaan di Mahkamah Shah Alam.

Bagaimanapun peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng tidak berpuas hati dengan alasan pihak pendakwaan kerana percaya laporan forensik itu masih ada namun tidak bersama pihak pendakwaan.

Gobind: Pastikan sahaja yang dokumen ini ada. Inilah masalahnya, mereka asyik lari.

Mahadi: Atas sebab sama yang arif, kes tersebut (di Mahkamah Shah Alam) telah pun tutup.

Gobind: Bukan (soal) tutup (atau tidak), hanya dokumen itu ada atau tidak sahaja yang arif.

Perbicaraan hari ini didengar di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mahkamah hari ini memanggil semula saksi pendakwaan ke-8, Wan Mohd. Firdaus Wan Yusof, memberi keterangan dan menyerahkan laporan forensik lengkap kerana laporan disediakannya sebelum ini terhad kepada suatu jangka masa sahaja.

Pada 29 September lalu, Mahkamah Sesyen di sini mengarahkan Wan Mohd. Firdaus yang merupakan Pegawai Penyiasat Bahagian Forensik Teknologi SPRM menyerahkan laporan forensik perbualan aplikasi WhatsApp antara dua saksi pendakwaan berkenaan kepada pasukan pembelaan.

Ini kerana, laporan forensik perbualan Gnanaraja dengan Zarul Ahmad yang merupakan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB) bagi kes di Shah Alam yang disiapkan pegawai penyiasat lain lebih lengkap.

Gnanaraja didakwa di Mahkamah Shah Alam pada 3 April 2019 atas tiga pertuduhan menipu seorang lagi saksi pendakwaan, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli sebanyak RM19 juta.

Beliau didakwa memperdaya Zarul Ahmad untuk mempercayai bahawa Gnanaraja boleh membantunya menutup siasatan SPRM terhadapnya, namun, status bagi kes berkenaan tidak diketahui.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Guan Eng atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.