Kerajaan negeri teliti laporan kemalangan maut peserta BOTK

Kerajaan Terengganu teliti laporan kemalangan maut peserta Battle Of The Kings

KEADAAN kereta yang dipandu seorang peserta BOTK 2022 remuk setelah terbabas  di Litar Permotoran Terengganu, Kuala Nerus, Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Kerajaan negeri akan meneliti laporan penuh kemalangan yang meragut nyawa peserta Battle Of The Kings (BOTK) 2022 di Litar Perlumbaan Terengganu, Kuala Nerus, dekat sini,  semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, MUSC Motorsports selaku penganjur akan dipanggil bagi mendapatkan situasi sebenar insiden itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua penganjuran sukan permotoran di litar tersebut digantung sementara sehingga siasatan dan kerja-kerja tambah baik di venue berkenaan selesai dijalankan.

“Kami masih menunggu laporan pihak penganjur yang dijangka diserahkan hari ini untuk mengkaji semua aspek terutama keselamatan dan keadaan litar sebelum mengambil langkah seterusnya.

“Ini termasuk keperluan menambah baik ciri-ciri prosedur keselamatan seperti menambah bilangan penghadang, menyelenggara permukaan trek atau membaiki kawasan persekitaran. Dari sudut permit, tiada masalah kerana MUSC Motorsports mendapat kelulusan penganjuran daripada Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan kerajaan negeri. Saya yakin aspek keselamatan diambil kira.

“Kejadian ini cukup menyedihkan dan kami bersimpati dengan keluarga mangsa. Diharap kejadian ini adalah yang pertama dan terakhir,” katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala Sultan Mizan di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP), di sini hari ini.

Kemalangan pada pukul 11.35 pagi semalam meragut nyawa pelumba, Muhamad Hafez Jamal Jamaludin, 40,  yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah setelah terbabas ketika beraksi pada kejohanan BOTK 2022.

Kejadian berlaku selepas kereta Mitubishi Lancer Evolution dipandunya hilang kawalan lalu terbabas keluar daripada trek dan melanggar pokok mengakibatkan kecederaan parah kepada mangsa.

Kemalangan itu menyaksikan siri perlumbaan BOTK 2022 yang diadakan sejak 12 Oktober lalu dan disertai peserta luar negara ditangguhkan serta-merta oleh MUSC Motorsports. Untuk rekod, kejadian seumpama itu adalah pertama berlaku di Litar Perlumbaan Terengganu sejak ia dibuka secara rasmi pada April 2017. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya