Tidak pernah cakap saya pandai nyanyi tapi saya bangga dengan keunikan suara saya - Elizabeth Tan - Utusan Malaysia

Tidak pernah cakap saya pandai nyanyi tapi saya bangga dengan keunikan suara saya – Elizabeth Tan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Susulan namanya disenaraikan seorang pengguna Threads sebagai antara penyanyi Malaysia yang tidak boleh menyanyi, pelakon dan penyanyi, Elizabeth Tan, menegaskan dia tidak pernah sesekali mengaku dirinya hebat dalam bidang nyanyian.

Elizabeth atau Elizabeth Tan Su Mei, 32, berkata, dia sedar kemampuan teknik nyanyiannya mempunyai kekurangan kerana tidak pernah mengikuti latihan vokal secara profesional.

Katanya, dia bercadang untuk belajar vokal bersama penyanyi Ernie Zakri sebelum ini tetapi tidak kesampaian disebabkan dia terlalu sibuk.

“Tentang menyanyi, saya tidak pernah cakap saya pandai menyanyi. Saya tidak pernah sekali pun cakap saya hebat menyanyi.

“Saya tahu saya tidak pernah masuk kelas vokal. Saya pernah terfikir untuk berlatih dengan Ernie Zakri, tetapi ketika itu dia sibuk dan saya tidak pernah mencari guru lain,” katanya.

Elizabeth berkata demikian ketika ditemui di sidang media pengenalan pelakon filem Pemuja Syaitan yang diadakan di 10 Stars Cinema, Hextar World Empire City, Petaling Jaya, pada Selasa.

Bagaimanapun, Elizabeth berkata dia tetap percaya suaranya mempunyai keunikan tersendiri walaupun mengakui tidak mahir dari segi teknik nyanyian.

“Saya percaya suara saya memang istimewa dan unik. Bila orang dengar di radio walaupun tidak nampak muka, mereka akan tahu itu suara saya dan saya bangga dengan keunikan itu.

“Saya tidak akan letakkan diri saya ke bawah. Tidak semua orang mempunyai suara yang sama, tetapi dari segi teknik menyanyi saya tahu saya tidak pandai.

“Kalau orang tanya saya tidak mahu buat konsert, saya fikir, ‘Ya Tuhan, awak bergurau?’ Saya sedar kemampuan diri saya.”

“Pada masa sama, saya tidak akan berhenti menyanyi. Saya suka menulis lagu dan menyanyikan lagu yang sesuai dengan suara saya,” ujarnya.

Tambah Elizabeth, dia kini sedang menyiapkan album yang dijangka dilancarkan sama ada pada penghujung tahun ini atau tahun depan dengan harapan karya itu dapat memperlihatkan sisi berbeza dirinya sebagai penyanyi.

“Harap-harap pada penghujung tahun ini atau tahun depan saya akan keluarkan album. Mungkin album itu boleh mengubah fikiran orang terhadap saya,” katanya.

Dalam pada itu, Elizabeth mengakui pada awalnya takut membaca komen orang ramai mengenai isu berkenaan tetapi dia terharu apabila menerima banyak sokongan yang memberinya semangat untuk terus berkarya.

“Saya takut bila baca komen sebab sepanjang karier saya, saya sudah biasa kena kecam. Tapi, bila saya baca, ramai sebenarnya komen-komen positif.

“Banyak perkara yang saya rasa saya mahu berputus asa. Tapi bila dengar orang cakap lagu saya mereka dengar dari sekolah menengah dan sebagainya, itulah yang saya harapkan album saya akan lakukan nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×