Kelindan maut, lori dinaiki terbabas - Utusan Malaysia

Kelindan maut, lori dinaiki terbabas

SEORANG kelindan lori maut apabila kenderaan yang dinaikinya itu terbabit dalam nahas di Kilometer 223, Lebuhraya Utara-Selatan (arah Selatan), di Rembau awal pagi tadi. - GAMBAR IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang kelindan maut apabila lori membawa muatan tayar kereta api yang dinaikinya terbabit dalam nahas di Kilometer 223, Lebuhraya Utara-Selatan (arah Selatan), di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 pagi itu, mangsa, Nor Azli Manaf, 37, beralamat di Kampung Telok Nyior Sebatang, Sungai Besar, Selangor, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika lori terbabit dalam perjalanan dari Klang untuk menghantar barang ke KTMB Kempas.

“Apabila tiba di lokasi kejadian kenderaan itu bergerak terus di lorong kiri dan kemudian dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke bahu kiri jalan dan terbabas ke tebing lebuh raya.

“Akibat kemalangan tersebut, kelindan tersepit dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala, muka serta patah tangan kiri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu berusia 46 tahun yang turut mengalami kecederaan parah di bahagian tangan kiri dan kaki kiri dihantar ke Hospital Alor Gajah, Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hazri berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Susulan insiden berkenaan, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota serta Rembau dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN