KUALA LUMPUR: Kejadian lift terjatuh daripada tingkat lapan di Kondominium Crescent Court di Briekfields semalam kali pertama berlaku sejak bangunan berkenaan diduduki sekitar 1970-an.
Seorang penduduk kondominium itu yang enggan dikenali berkata, kejadian yang berlaku itu ibarat mimpi ngeri buat penduduk di sekitar.
Katanya, penduduk di situ tidak pernah gagal membayar wang penyelenggaraan bulanan.
“Namun apabila berlaku kerosakan pada sistem lif ini, ia ibarat ada kegagalan semasa pemeriksaan lif dilakukan.
“Kami berharap pihak bertanggungjawab dapat melaksanakan pemeriksaan dengan lebih terperinci bagi mengelak kejadian ini berulang,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, sistem lif itu pernah mengalami masalah seperti tersangkut pada waktu tertentu, namun kejadian lif terhempas adalah sesuatu yang mengejutkan bagi penduduk.
“Tidak nafikan, memang pernah berlaku masalah lif tersangkut tapi kejadian itu amat jarang berlaku,” jelasnya.
Terdahulu, tinjauan pengamal media di lokasi kejadian mendapati, beberapa pegawai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Kementerian Sumber Manusia melakukan pemeriksaan pada lif berkenaan.
Difahamkan, pemeriksaan dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian lif itu terhempas.
Media melaporkan, enam individu melalui pengalaman ngeri apabila lif dinaiki di sebuah blok kondominium di Lengkok Thamby Abdullah, Brickfields, di sini jatuh dari tingkat lapan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.52 malam itu, dua individu patah kaki manakala empat lagi tidak mengalami kecederaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, sebanyak 11 anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah ke lokasi kejadian.
Kata beliau, sebaik sahaja tiba di lokasi pukul 10.12 malam, terdapat lif di blok berkenaan yang terjatuh dari tingkat lapan.. – UTUSAN