Kami tidak teragak-agak tarik diri jika GTA menyimpang

Kami tidak teragak-agak tarik diri jika GTA menyimpang – Gagasan Bangsa

AMINUDDIN Yahaya (empat, dari kiri) dalam sidang media pelancaran Gabungan Bangsa di pejabat Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) di Wisma Melayu di sini hari ini. UTUSAN/MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gagasan Bangsa yang menghimpunkan badan-badan bukan parti politik yang bernaung di bawah Gerakan Tanah Air (GTA) tidak teragak-agak menarik diri dari bekerjasama jika pakatan baharu itu ‘menyimpang’ dari perjuangan asalnya. 

Jurucakap Jawatankuasa Pemandu Gagasan Bangsa, Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya bagaimanapun komited pada hala tuju dan matlamat yang telah dipersetujui bersama GTA yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

Beliau menegaskan, keterlibatan Gagasan Bangsa di dalam GTA bukan sebagai ‘penumpang’ atau ‘Pak Turut’ semasa-mata, sebaliknya, pihaknya terlibat dalam menentukan arah tuju pakatan berkenaan. 

“Saya menyeru semua pihak sama ada kumpulan masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional, dan individu-individu yang prihatin terhadap nasib bangsa, agama dan negara supaya bersama-sama bergabung di bawah Gagasan Bangsa untuk memperkasa GTA. 

“Kalau selama ini NGO berjuang terhadap isu-isu yang timbul tetapi kini sudah sampai masanya NGO berjuang mendapatkan kekuasaan untuk merealisasikan penyelesaian isu-isu yang perlu. 

“Setelah melihat gelagat orang politik yang bercakaran mementingkan diri sendiri dan parti sehingga rakyat benci pada politik, maka Gagasan Bangsa berpandangan sudah sampai masanya politik negara dibangunkan oleh parti dan rakyat,” katanya kepada pemberita semasa sidang media pelancaran Gagasan Bangsa di pejabat Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) di Wisma Melayu di sini hari ini. 

Sidang media itu dilakukan serentak dengan pengumuman pembubaran Parlimen Ke-14 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini yang membuka jalan kepada PRU-15. 

Hadir sama dalam sidang media hari ini Ketua Penerangan GTA, Datuk Nizam Mahshar; Ahli Jawatankuasa GTA, Prof. Datuk Dr. Murad Merican dan wakil-wakil Gagasan Bangsa, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Ahmad Zakie Ahmad Shariff. 

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, gabungannya mendapati parti komponen utama dalam GTA lebih terbuka dan sedia memberi ruang luas kepada perjuangan NGO. 

GTA dilancarkan secara rasmi Ogos lalu dianggotai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), IMAN, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Berjasa serta mensasarkan 120 kerusi Parlimen pada PRU-15. 

“Oleh sebab itu, kami telah memilih untuk bekerjasama dengan kempat-empat parti ini sebagai komponen pengasas bagi menubuhkan GTA untuk menghadapi PRU-15 nanti,” katanya. 

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, Gagasan Bangsa adalah gabungan pemimpin-pemimpin Melayu pelbagai kumpulan dengan pelbagai latar belakang termasuk NGO Melayu, ahli akademik, agamawan, alam sekitar, profesional, kesenian, bekas-bekas pegawai kerajaan. 

“Tujuan penubuhan gabungan ini untuk menjadi suara yang kuat dalam memastikan semua isu yang dinyatakan dapat dibaiki dan direalisasi, jadi, keterlibatan dalam menentukan kepimpinan berwibawa untuk negara adalah suatu hal yang mesti dilakukan pada masa kini,” katanya.  –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN