ALOR SETAR: Sebuah kabin kontena yang terletak di kawasan kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon musnah dipercayai akibat perbuatan khianat, sehari selepas tembok pagar di situ dilempar cat pada 17 Oktober lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, siasatan awal polis di lokasi menemukan beberapa sampel dan bahan bukti dipercayai digunakan untuk menghasilkan letupan di situ.
Katanya, pihak polis mengesyaki kejadian tersebut mempunyai unsur jenayah khianat menggunakan bahan letupan.
“Polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 3.49 petang, 18 Oktober lalu. Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati kabin kontena tersebut yang dijadikan stor di belakang kediaman rasmi berkenaan musnah akibat kejadian itu.
“Siasatan awal membawa kepada penemuan beberapa sampel dan bahan bukti dipercayai digunakan untuk menghasilkan letupan. Kesemua sampel tersebut telah dihantar ke makmal bagi analisis lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Difahamkan siasatan awal mendapati kejadian letupan tersebut dipercayai berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi, 16 Oktober lalu.
Pada 17 Oktober lalu, tembok pagar kediaman rasmi itu yang terletak di Jalan Anak Bukit, Pantai Johor, dilempar cat berwarna biru dan merah oleh individu tidak dikenali.
Siasatan dijalankan pihak berkuasa menemukan empat bungkusan plastik berisi cat di lokasi tersebut yang tidak mempunyai pengawasan kamera litar tertutup (CCTV).
Mengulas lanjut Wan Hassan berkata, kes melibatkan kerosakan kabin tersebut disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan menggunakan bahan letupan terhadap sebuah rumah. Jika sabit kesalahan katanya, individu terlibat boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda.
“Polis masih meneruskan siasatan secara terperinci bagi mengenal pasti suspek terlibat. Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu.
“Mereka yang ada maklumat mengenai kejadian itu boleh menyalurkannya secara terus kepada pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Che Intan Subri di talian 013-9329614 atau 04-7321222,” katanya. – UTUSAN