Judi ayam: 43 lelaki ditahan 

Judi ayam: 43 lelaki ditahan 

AYAM sabung yang dirampas dalam serbuan di Batu 17, Ladang Kumpulan Melayu, Tunjuk Laut, Kuala Sedili, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seramai 43 lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam judi sabung ayam di Kuala Sedili, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi,  Superintenden Hussin Zamora berkata, dalam operasi pada pukul 4.15 petang yang melibatkan sepasukan anggota Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor itu, turut dirampas 13 ekor ayam sabung.

Katanya, operasi berkenaan dibantu  Bahagian Siasatan Jenayah dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, IPD Johor Bahru Selatan, IPD Pontian dan IPD Iskandar Puteri di Batu 17, Ladang Kumpulan Melayu, Tunjuk Laut, Kuala Sedili.

“Polis menahan 27 lelaki tempatan dan 16 lelaki warga asing berusia antara 22 sehingga 60 tahun. Hasil operasi tersebut, pihak polis  merampas 13 ekor ayam laga, sangkar ayam dan beberapa peralatan judi sabung ayam serta wang tunai berjumlah RM8,192.

“Semasa serbuan dijalankan, dua lelaki tempatan  cuba melarikan diri, namun dapat ditahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kesalahan berkenaan juga boleh didakwa di bawah Seksyen 32(1) (a) & 32 (2)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu  bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali dan sebat tidak lebih enam kali sebatan, katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya