PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengeluarkan dokumen keselamatan baharu dengan ciri-ciri keselamatan terkini dan berkualiti mulai tahun hadapan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia akan mula dikeluarkan secara berperingkat mulai Januari tahun depan merangkumi 38 dokumen keselamatan.
Beliau berkata, dokumen keselamatan baharu itu termasuk sijil kelahiran, sijil kematian, daftar perkahwinan, sijil kewarganegaraan Malaysia dan dokumen pengenalan sementara.
“Dokumen baharu ini akan meningkatkan aspek ketulenan dokumen di mana ia menggabungkan ciri-ciri keselamatan pada reka bentuk dokumen, kertas yang digunakan dan juga jenis dakwat untuk cetakan keselamatan.
“Pengenalan dokumen keselamatan itu bertujuan memastikan ia tidak lagi boleh dikeluarkan dengan sewenang-wenangnya serta boleh dipalsukan dengan mudah,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan sambutan Majlis Hari Pendaftaran Negara 2022 hari ini.
Katanya, beliau akui banyak isu membabitkan pemalsuan dokumen keselamatan ini, justeru operasi sentiasa dijalankan bagi membendung isu berkenaan.
Hamzah pada masa sama menyifatkan dokumen keselamatan dikeluarkan JPN adalah yang terbaik di dunia kerana ia sentiasa melalui evolusi dan penambahbaikan.
“Kalau kita lihat, ciri-ciri keselamatan pada MyKad itu sendiri sudah diubah suai dan ditambah baik sebanyak tiga kali sejak ia diperkenalkan pada 2001,” katanya.
Katanya, sehingga kini, sebanyak 471 operasi siasatan dan penguatkuasaan dijalankan di seluruh negara dan sebanyak 195 tangkapan dan pendakwaan bagi kes-kes di bawah Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (Akta 299).-UTUSAN










