Jho Low di rumah Najib ketika pembukaan akaun AmBank - Utusan Malaysia

Jho Low di rumah Najib ketika pembukaan akaun AmBank

jho low
Jho Low
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low berada di rumah Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari yang sama bekas Perdana Menteri itu menerima dokumen bagi pembukaan akaun AmBank pada 2011.

Bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank, Cheah Tek Kuang, 75, berkata, beliau melihat Jho Low tiba menaiki sebuah kereta manakala beliau dihantar oleh pemandu sebuah kenderaan lain ke rumah Najib di Kenny Hill, Bukit Tunku di sini.

Saksi pendakwaan ke-39 itu berkata, beliau dijemput di rumahnya oleh pemandu kenderaan itu sebelum menghala ke rumah Najib secara konvoi bersama beberapa kenderaan lain yang turut dinaiki Jho Low.

Jelas Tek Kuang, beliau bagaimanapun tidak bercakap dengan Jho Low dan terus bertemu bekas Perdana Menteri di ruang tamu rumah tersebut.

Tek Kuang menjelaskan, kehadirannya di situ bertujuan menyerahkan dokumen pembukaan akaun AmBank kepada Najib untuk ditandatangani dan dibawa balik ke Cawangan Raja Chulan dan diserahkan kepada bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu.

Semalam, saksi memberitahu, pertemuan empat mata dengan Najib berlangsung tidak lama dan bekas Perdana Menteri memaklumkan beliau akan menerima wang daripada Arab Saudi dalam jumlah yang besar iaitu AS$100 juta untuk aktiviti berunsur Islam.

Saksi berkenaan memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri.

Pada sesi pemeriksaan balas yang dikendalikan oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, saksi turut ditanya sejauh mana beliau mengenali Jho Low.

Menurut Tek Kuang, beliau tidak begitu mengenali ahli perniagaan itu secara peribadi namun pernah bertemunya dalam beberapa majlis sosial dan minum petang.

“Jho Low mempunyai tabiat suka datang lewat dan tidak menepati masa dalam beberapa pertemuan. Pada asalnya saya tidak mengenali beliau namun Joanna kemudian mengatur makan tengah hari dengannya, ketika itu dia (Jho Low) tiba lewat,” jelasnya.

Saksi berkenaan menafikan cadangan Muhammad Shafee bahawa beliau pernah menerima hadiah telefon pintar Blackberry daripada Jho Low.

Menurut beliau, sepanjang pengetahuannya Jho Low bukan pelanggan AmBank.

Saksi turut ditanya oleh Muhammad Shafee sejauh mana beliau mengenali bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berhubung keterangannya semalam.

Menurut Tek Kuang, beliau mengenali Zeti Akhtar ketika melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya sekitar tahun 60-an kerana bekas gabenor itu mengambil jurusan yang sama di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi.

Semalam, saksi menyatakan, bekas Gabenor BNM itu mengetahui Najib akan menerima wang AS$100 juta daripada Kerajaan Arab Saudi pada 2011.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN