Jangan dengki rezeki orang - Elly Mazlein

Jangan dengki rezeki orang – Elly Mazlein

ELLY MAZLEIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Artis serba boleh, Elly Mazlein ‘menasihatkan’ segelintir artis yang menyindirnya dalam media sosial supaya berhenti menjadi toksik kerana industri seni terlalu kecil untuk bermasam muka.

Elly atau lebih popular dengan panggilan Kak Lina berkata, sikap cuba memecahbelahkan penyokong dengan sindiran terlalu kebudak-budakan dan tidak matang kerana rezeki seseorang bergantung kepada aturan tuhan.

“Saya ini tidak hebat, malah masih hijau sebagai anak seni. Anugerah besar pun tidak pernah dapat. Tolong jadi matang dan percaya kepada rezeki. Industri kita tidak besar mana untuk jadi toksik.

“Bagi saya, sikap suka memecahbelahkan penyokong terlalu kebudak-budakan. Kenapa tidak kita saling menyokong? Mahu sindir menyindir, semua itu boleh jatuh fitnah. Tidak bagus untuk kita dan juga industri seni,” katanya.

Elly berkata demikian bagi mengulas tindakan segelintir pihak yang mengecam dan mengkritik cara pengacaraannya yang dikatakan agak over dan cuba membayangi pengacara lain.

Meskipun berdepan sindiran, malah ada yang menganggap dirinya cuba ‘mencaras’ peluang orang lain apabila menerima pelbagai tawaran, Elly tetap positif menjalankan tanggungjawab diamanahkan.

Ibu dua cahaya mata itu tidak kecewa atau sedih berdepan situasi tersebut, sebaliknya mengharapkan pihak terbabit kembali sedar dan percaya dengan rezeki masing-masing.

“Saya kerja untuk hiburkan orang tanpa ada perasaan mahu lebih menyerlah daripada pengacara lain. Saya pernah bekerja dengan ramai pengacara dan rakan artis, kami tidak pernah ada masalah.

“Jangan dengki dengan rezeki orang lain. Saya tahu, peminat Gegar Vaganza (GV) faham bila saya ambil tugas Jihan Muse, bukan untuk menenggelamkan sesiapa.

“Tugas saya dan Nabil untuk hidupkan program itu. Pengacara juga ada peranan sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×