KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah di Istana Negara di sini petang ini.
Kenderaan rasmi jenis Toyota Vellfire membawa Perdana Menteri itu meninggalkan pintu utama Istana Negara kira-kira pukul 4.45 petang ini.
Difahamkan, pertemuan yang berlangsung kira-kira sejam itu merupakan mesyuarat pra-Kabinet sebelum mesyuarat Kabinet bersama Jemaah Menteri diadakan pada esok.

Perdana Menteri berlalu pergi tanpa menemui pemberita sekali gus terus menimbulkan tanda tanya sama ada ia adalah rutin biasa atau termasuk memohon perkenan tarikh pembubaran Parlimen kepada Seri Paduka.
Terdahulu, Ismail Sabri tiba di Istana Negara dengan memasuki pintu utama kira-kira pukul 3.49 petang ini.
Ismail Sabri sempat melambai kepada hampir 50 petugas media yang berkumpul di pekarangan Istana Negara untuk membuat liputan perkembangan politik semasa tanah air.
VIDEO OLEH: AHMAD FADHLULLAH ADNAN
Dalam satu sidang akhbar di Putrajaya hari ini, Ismail Sabri tidak menolak kemungkinan isu pembubaran Parlimen akan dipersembah kepada Seri Paduka petang ini.
Menurut beliau, ini kerana ia bergantung kepada keadaan sama ada sempat atau tidak untuk dibincangkan dengan Seri Paduka dalam kunjungan rutin beliau setiap kali menjelang mesyuarat Kabinet.
Untuk rekod, mesyuarat Kabinet kebiasaannya diadakan pada Rabu dengan Perdana Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada pukul 4 petang Selasa.
Namun apabila Parlimen sedang bersidang, mesyuarat Kabinet akan dijalankan pada Jumaat dengan sesi pra-Kabinet diadakan pada pukul 4 petang Khamis. – UTUSAN