PETALING JAYA: Projek pembinaan feri baharu di Pulau Pinang kini berada tahap 40 peratus dan dijangka siap pada Jun tahun depan.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, SPPP mengadakan lawatan ke dua tapak pembinaan feri baharu itu di Vietnam dengan disertai wakil Kementerian Pengangkutan dan Penang Port Sdn.Bhd. (PPSB) dari 3 hingga 4 Oktober lalu.
Katanya, objektif lawatan tersebut adalah meninjau kemajuan projek pembinaan feri baharu dan mengadakan perbincangan bersama pembekal serta PPSB berkaitan pembinaan dan jadual penghantaran feri ke Pulau Pinang.
“Komponen-komponen feri serta bentuk feri Pulau Pinang yang baharu telah mula kelihatan. Kemajuan pembinaan feri adalah 40 peratus dan dijadualkan siap pada Jun tahun depan.
“Pelancaran kapal untuk pengujian air juga dijadualkan pada Mei 2023 dan dihantar ke perairan Pulau Pinang pada hujung Jun 2023,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Teik Cheng berkata, SPPP akan membuat pemakluman dari semasa ke semasa mengenai perkembangan feri baharu Pulau Pinang manakala maklumat lanjut berhubung konsep feri dan lain-lain pula dimaklumkan oleh PPSB kelak.
Katanya, SPPP percaya pengenalan feri Pulau Pinang kelak memberi nafas baharu kepada konsep reka bentuk feri serta berupaya memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna feri. – UTUSAN