Empat polis antara ditahan kurangkan saman trafik RM5 juta

Empat polis antara ditahan kurangkan saman trafik bernilai RM5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan satu sindiket yang menjalankan aktiviti rasuah bagi pengurangan saman trafik di beberapa negeri mulai 2016 hingga kini yang melibatkan transaksi wang lebih RM5 juta, terbongkar susulan penahanan 11 individu, baru-baru ini.

Suspek yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas itu terdiri empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), enam penjawat awam dan seorang awam ditahan.

Satu sumber mendedahkan, sindiket berkenaan dipercayai mencari individu yang ingin menyelesaikan saman trafik dengan membayar sejumlah wang yang lebih rendah daripada nilai saman.

Kata sumber itu, selepas menerima wang tersebut, sebahagian jumlah itu dimasukkan ke hasil kerajaan manakala selebihnya dikongsi dengan suspek-suspek yang bertugas di sebuah PDRM.

“Suspek kemudian mengeluarkan nama individu yang disaman daripada sistem PDRM.

“Bayaran ini dikutip anggota sindiket seterusnya menyerahkan kepada pegawai yang membuat pengurangan kompaun menerusi sistem,” kata sumber itu.

Mengulas lanjut, kata sumber itu, sebanyak 60 akaun bank daripada suspek-suspek yang berjumlah keseluruhan kira-kira RM184,000 telah dibekukan oleh SPRM.

Jelas sumber itu, sembilan daripada individu-individu ini ditaham direman bagi membantu siasatan sementara dua lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil.

“Perintah tahanan reman tiga hari itu dikeluarkan Majistret, Irza Zulaikha Rohanuddin, selepas meluluskan permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Kata beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan memanggil beberapa lagi saksi terdiri daripada pegawai dan anggota polis serta orang awam bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×