Didenda RM3,000, penjara cuba rasuah polis RM50

Pekerja ladang Bangladesh didenda RM3,000, penjara cuba rasuah polis RM50

KHAN Obaydul (tengah) dikenakan hukuman denda RM3,000 atas kesalahan memberi rasuah kepada anggota polis Mei tahun lalu di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pekerja ladang warga Bangladesh dikenakan hukuman denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan memberi rasuah kepada anggota polis, Mei tahun lalu.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Khan Obaydul, 30, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang dibacakan dalam bahasa Melayu.

Tertuduh turut berhadapan hukuman penjara satu bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan wang rasuah RM50 dilucut hak kepada kerajaan Malaysia di bawah Seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi suapan iaitu wang tunai berjumlah RM50 kepada Sarjan Mohd. Faizal Abdul Hadi yang bertugas di Balai Polis Ayer Tawar di Jalan Kampung Muhibbah, Ayer Tawar pada pukul 2 petang, 11 Mei 2021.

Suapan itu diberikan sebagai dorongan untuk Mohd. Faizal tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas lelaki tersebut atas kesalahan tidak memakai topi keledar semasa menunggang motosikal.

Pendakwaan terhadap lelaki itu dibuat mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara tidak sampai 10 tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Tertuduh membayar denda berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN