DAP Pulau Pinang kekal tanding tujuh kerusi Parlimen - Utusan Malaysia

DAP Pulau Pinang kekal tanding tujuh kerusi Parlimen

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: DAP Pulau Pinang kekal bertanding tujuh kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, jumlah tujuh kerusi Parlimen itu adalah sama dengan jumlah kerusi yang ditandingi DAP pada pilihan raya sebelum ini.

”Kita kekal dengan tujuh kerusi Parlimen seperti pilihan raya lepas, tidak ada tambah atau pengurangan (kerusi Parlimen) bagi Pulau Pinang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sebelum ini sebulat suara menangguhkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Susulan daripada keputusan itu, Pulau Pinang hanya akan bertanding bagi peringkat Parlimen iaitu sebanyak 13 kerusi pada PRU-15.

DAP pada PRU-14 sebelum ini bertanding di kerusi Parlimen Bagan; Bukit Mertajam; Batu Kawan; Bukit Bendera; Tanjong; Jelutong dan Bukit Gelugor.

Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, semua calon DAP bagi mengisi kerusi Parlimen juga telah selesai ditemuramah.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut sama ada terdapat calon muka baharu bagi kerusi Parlimen.

”Tunggu minggu depan sama ada calon muka baharu atau lama,” katanya.

Dalam pada itu tambahnya, soal senarai calon bagi DAP Pulau Pinang juga akan diputuskan oleh DAP Pusat.

”Senarai nama akan diserahkan pada DAP Pusat dan kita jangka akan serahkan nama dalam minggu ini untuk diteliti oleh DAP Pusat. Nama-nama calon juga akan diumumkan dua tiga hari sebelum penamaan calon oleh DAP Pusat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN