Dadah lebih RM126 juta dirampas sejak Januari

Polis Perak rampas dadah lebih RM126 juta sejak Januari

MOHD. Yusri Hassan Basri (tengah) menunjukkan barangan rampasan yang dilupuskan di IPK Perak di Ipoh hari ini. - FOTO/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis Perak merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM126 juta sepanjang tempoh sembilan bulan tahun ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, anggaran berat dadah yang dirampas berjumlah 2,372 kilogram (kg) membabitkan dadah jenis syabu, ketamin, ganja dan heroin.

Katanya, turut dirampas 141 biji pil estacy, 500 biji pil yaba dan 703 biji pil eramin 5.

“Dalam tempoh sembilan bulan tahun ini, lebih 10,086 orang diambil tindakan termasuk seramai 1,868 orang diambil tindakan kerana terlibat dalam kegiatan pengedaran.

“Bagi tempoh sama juga, seramai 4,884 orang telah dikenakan tindakan kerana memiliki dadah manakala 3,200 orang pula positif,” katanya dalam sidang akhbar pada program pelupusan barang kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Mohd. Yusri berkata, bagi tempoh Januari hingga September lalu, sebanyak 5,204 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 5,040 kertas siasatan telah dituduh iaitu pencapaian sebanyak 97 peratus,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, pelbagai jenis dadah bernilai RM4.8 juta dilupuskan membabitkan 4,845 kertas siasatan yang telah selesai perbicaraan sejak tahun 2003 hingga kini.

Katanya, pelupusan itu membabitkan lebih 100 kilogram (kg), daun ketum (8,405.91kg), cecair ketum (3,634.17 liter) dan ubat batuk (4,474.43 mililiter).

“Kesemua eksibit yang merupakan rampasan narkotik dari 15 daerah itu akan dilupuskan di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN