Calon PKR di Negeri Sembilan belum muktamad - Utusan Malaysia

Calon PKR di Negeri Sembilan belum muktamad

AMINUDDIN Harun (tiga dari kiri) pada Seminar Bebas Rasuah, Integriti dan Tadbir Urus Terbaik Pihak Berkuasa Tempatan 2022 serta Pelancaran Buku Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) Majlis Bandaraya Seremban di Seremban hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyatakan senarai calon PKR yang akan bertanding di kerusi Parlimen bagi Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) masih belum dimuktamadkan dan akan diumumkan Jumaat ini.

Pengumuman dijangka dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalannya, Rafizi Ramli di Taman Majlis Perbandaran Ampang Jaya di Taman Kosas, Ampang di Selangor.

Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR berkata, seperti sedia maklum PKR akan bertanding di kerusi Parlimen Rembau, Kuala Pilah dan Port Dickson pada PRU15.

Menurut Aminuddin, kedudukannya sendiri sebagai calon yang akan mewakili PH di Parlimen Port Dickson pada PRU15 masih belum dimuktamadkan selagi watikah tidak diterima.

“Selagi saya tidak dapat watikah belum tentu lagi, orang dah dapat watikah pun boleh bertukar calon.

“Jadi belum tentu lagi, kita tunggu sampai hari penamaan calon, itu adalah calon yang sah, jadi kita sedia maklum Keadilan akan mengadakan pengumuman calon pada 28 Oktober ini untuk umumkan semua calon Keadilan di tempat tersebut dan satu Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau sebelum itu merasmikan Seminar Bebas Rasuah, Integriti dan Tadbir Urus Terbaik Pihak Berkuasa Tempatan 2022 serta Pelancaran Buku Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) Majlis Bandaraya Seremban.

Jelas Aminuddin, tindakan dibuat Anwar mengumumkan beliau sebagai calon Parlimen Port Dickson bagi memaklumkan kepada pengundi bahawa PKR akan bertanding di kerusi berkenaan.

“Kita tidak umum satu-satu, hari itu (pengumuman calon PKR Parlimen Port Dickson) mungkin beliau (Anwar) tak nak orang Port Dickson marah dia kan, beliau letak la nama saya, tetapi belum tentu lagi,” katanya.

Pada 21 Oktober lalu, media melaporkan Aminuddin akan mewakili calon PH di Parlimen Port Dickson pada PRU15.

Perkara itu disahkan melalui pengumuman dibuat Anwar yang juga penyandang Parlimen Port Dickson ketika Jelajah Harapan Negeri Sembilan di Dataran Segar, Port Dickson. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN