KOTA KINABALU: Cadangan melantik Timbalan Perdana Menteri daripada Sabah menerima reaksi berbeza daripada pemimpin kerajaan dan pembangkang di negeri ini.
Di pihak kerajaan, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyambut baik cadangan melantik Timbalan Perdana Menteri daripada Sabah.
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, cadangan dikemukakan itu sesuatu yang baik namun, perlu meletakkan seseorang yang punya keupayaan untuk mewakili Sabah.
Turut senada dengan Hajiji ialah Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili yang juga rakan dalam GRS.
Maximus berkata, cadangan melantik Timbalan Perdana Menteri itu antara perkara yang telah dibincangkan dalam Majlis Khas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) susulan permintaan rakyat di Sabah dan Sarawak agar dipertimbangkan oleh kerajaan Persekutuan.
“Malah, Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu juga sedang melihat perkara berkaitan rakan sekutu Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan.
“Cadangan lantikan Timbalan Perdana Menteri itu telah lama dikemukakan dan pelaksanaan lantikan itu seiring dengan usaha mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Warisan (Warisan) Datuk Mohd. Azis Jamman menyifatkan cadangan yang dikemukakan BN itu sekadar pemberian ‘gula-gula’ menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Penyandang kerusi Parlimen Sepanggar itu berkata, rakyat Sabah dan Sarawak menuntut pelaksanaan MA63 dan bukannya jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Cadangan sebegitu seolah-olah menunjukkan rakyat Sabah dan Sarawak tidak layak untuk memegang jawatan Perdana Menteri selepas PRU-15.
“Apa yang rakyat Sabah dan Sarawak mahu adalah segera penuhi tuntutan MA63 dan perlu dilaksanakan dengan segera, tiada lagi jawatankuasa dan jangan lagi berdolak-dalik.
“Kami mahukan keadilan serta kesaksamaan untuk Sabah dan Sarawak, bukan membuat pengumuman menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.
Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar BN Sabah memasukkan cadangan melantik Timbalan Perdana Menteri daripada Sabah dalam manifesto BN di negeri ini.
Ahmad Zahid berkata, tidak mustahil mewujudkan tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional menang dengan dominan pada pilihan raya kali ini.- UTUSAN