KANGAR: Bajet 2023 yang dibentangkan semalam disifatkan cukup komprehensif dan merangkumi semua sektor ekonomi dalam negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, terdapat banyak peruntukan disediakan kerajaan dalam Bajet 2023 buat golongan memerlukan khususnya melibatkan kelompok B40 dan M40.
Katanya, kategori kelayakan bagi sesuatu bantuan itu juga ditambah baik dan bakal menjadi pemangkin kepada kuasa membeli yang tinggi dalam kalangan rakyat khususnya aspek gandaan ekonomi untuk masa depan.
“Ini merupakan satu belanjawan yang sangat baik dan saya namakan sebagai Bajet Prihatin Keluarga Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Sukan Negara (HSN) 2022 Peringkat Negeri Perlis di Dataran Dato Sheikh Ahmad di sini hari ini.
Terdahulu, Azlan berkesempatan menyertai acara Fun Walk sejauh lima kilometer yang merupakan sebahagian daripada pengisian program berkenaan.
Dalam pada itu, mengulas mengenai peruntukan yang disediakan buat negeri ini, Azlan berkata, kerajaan telah mengumumkan pemberian sebanyak RM80 juta untuk pembinaan prasarana sokongan bagi Projek Ladang Tenusu di kawasan Chuping Agro Valley yang bakal memberi impak tinggi.
“Kita tahu projek ini dari segi nilai pelaburan kasarnya adalah sebanyak RM4.5 bilion dan ia bakal mewujudkan peluang pekerjaan kepada sekitar 2,000 selepas ini,” katanya.
Tambahnya, pemberian peruntukan RM80 juta yang dimasukkan dalam Bajet 2023 itu bakal menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan Projek Ladang Tenusu itu pada masa hadapan.
“Projek ini sedang dalam proses untuk dimuktamadkan dan mengikut apa yang saya dimaklumkan, pelabur akan memulakan pelaksanaannya mungkin seawal tahun hadapan namun bergantung kepada syarat-syarat ditetapkan kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN










