KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah tetap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Jelasnya, atas dasar itu, beliau berpendirian yang usaha dijalankan pada waktu kini akan diteruskan kerajaan akan datang demi manfaat rakyat dan negara.
“Sebab itu saya minta supaya usaha untuk bubar parlimen tidak dijalankan sekarang.
“Kalau PRU diadakan dan parlimen dibubarkan, saya percaya ini perjanjian yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara di mana kerajaan yang dibentuk akan bertanggungjawab kepada rakyat dan negara.
“Ini yang ditegaskan untuk satu tempoh yang panjang supaya dapat menghadapi cabaran selepas ini,” katanya bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Guan Eng meminta kerajaan menjelaskan sejauh mana usaha agar ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) diteruskan jika bertukar kerajaan.
Kenyataan Azmin itu disambut baik Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin (PKR-Hang Tuah Jaya) dengan menyatakan: “Steady anak jantan.”
Azmin dalam masa yang sama turut menjelaskan meskipun indikator ekonomi kini dilihat semakin baik, namun ia memerlukan sedikit masa lagi supaya proses pemulihan ekonomi benar-benar memberi kesan positif kepada rakyat. – UTUSAN