Asyik-asyik UMNO tentukan semua perkara - Fahmi Fadzil

Asyik-asyik UMNO tentukan semua perkara – Fahmi Fadzil

umno
FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan UMNO yang menetapkan pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat menimbulkan persoalan mengapa parti itu sanggup bertindak sendiri tanpa melalui mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN).

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, keadaan itu menunjukkan UMNO tidak berhenti daripada memikirkan ‘kantung’ sendiri dengan mendesak supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Hal itu pula ditambah apabila negara hanya mempunyai tempoh masa tiga bulan sebelum melangkah ke tahun baharu 2023 dalam keadaan cuaca yang tidak menentu di seluruh negara.

“Takkanlah UMNO ini mahu menentukan segala perkara termasuk pembubaran Parlimen? UMNO ada berapa ahli Parlimen sahaja? Asyik meratib hari-hari nak bubar Parlimen ini pasal apa?

“Saya tidak faham mengapa UMNO tentukan (bubar Parlimen) dan bukannya BN yang mempunyai parti-parti komponen lain. Saya amat sedih disebabkan beberapa pemimpin UMNO yang langsung tidak berhati perut dan tidak memikirkan nasib rakyat.

“Secara mudahnya, UMNO tidak kisah pendapat pihak lain. Kalau tidak, kenyataan kelmarin bukan dari Setiausaha Agung UMNO, tetapi Setiausaha Agung BN. Mereka sangat mementingkan diri. Malulah sikit, jangan bersikap diktator,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO kelmarin sepakat memutuskan pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan pada tahun ini.

Dalam pada itu, Fahmi turut membidas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan keputusan parti itu mendesak supaya Parlimen dibubarkan demi kepentingan rakyat negara ini.

“Tidak, ini hanya kepentingan beliau seorang. Kalau benar, ada atau tidak sesiapa yang mahukan pilihan raya selain UMNO? Mereka sahaja asyik meratib seolah-olah ekonomi negara tidak menjadi masalah, ringgit jatuh tidak jadi masalah bahkan kadar pengangguran pun tiada masalah.

“Kalaupun ditakdirkan pilihan raya tahun ini, kami bersedia. Malam semalam pun kami lancarkan tabung untuk pilihan raya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×