Bertemu Sulaiman, peluang Mas Ermieyati sukar

Bertemu Sulaiman, peluang Mas Ermieyati sukar

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANYA ‘magis’ dapat membantu Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah, seandainya Barisan Nasional (BN) mencalonkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali bertanding di situ.

Mahu atau tidak, Perikatan Nasional (PN) perlu mengakui bahawa Sulaiman bukanlah ‘calang-calang’ pemimpin.

Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, tidak boleh dinafikan beliau mempunyai perwatakan bersahaja yang disenangi masyarakat, terutama pengundi Melayu dan luar bandar di Masjid Tanah.

Parlimen Masjid Tanah terbahagi kepada lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu dan Taboh Naning.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, BN dan UMNO menyapu bersih kesemuanya, namun tidaklah dimenangi dengan majoriti besar.

Hanya DUN Lendu dimenangi Sulaiman boleh dikatakan ‘menang bergaya’ dengan majoriti 3,104 undian, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Asri Ibrahim dan calon PN, Mejar (B) Abdullah Mahadi.

Mas Ermieyati yang turut bertanding di kerusi Tanjung Bidara tewas dengan majoriti tipis 364 undian di tangan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Bagi DUN Kuala Linggi, Ayer Limau dan Taboh Naning juga, BN hanya berkelebihan bawah 2,000 undian iaitu 1,836 undian (Kuala Linggi), 1,085 undian (Ayer Limau) dan 1,825 undian (Taboh Naning), menjadikan Parlimen Masjid Tanah boleh dianggap ‘kerusi neutral’ jika BN tersilap perkiraan meletakkan calon di situ.

Utusan Malaysia difahamkan, UMNO Bahagian Masjid Tanah telah mengemukakan lima nama untuk bertanding di Parlimen berkenaan, termasuk nama Sulaiman.

PN pula sudah menamakan Mas Ermieyati bertanding mempertahankan kerusi yang dimenanginya atas tiket BN pada PRU14, manakala PH dijangka meletakkan calon Parti Amanah Negara (Amanah).

Pada PRU14, Mas Ermieyati yang menyandang jawatan Ketua Puteri UMNO menang di Masjid Tanah dengan majoriti besar 8,159 undian menewaskan calon PH, Datuk Dr. Sabirin Ja’afar dan calon Pas, Nasir Othman.

Beliau kemudian menyertai Bersatu ketika era pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Disember 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN