KEMAMAN: Bekas Canselor Universiti Kolej TATI (UCTATI), Allahyarham Tan Sri Ir Dr. Wan Abdul Rahman Wan Yaacob menerima Anugerah Jasa Bakti pada Majlis Konvokesyen Ke-22 UCTATI di sini, semalam.
Allahyarham dipilih menerima anugerah tersebut sebagai menghargai dan mengenang jasa beliau dalam membangunkan pendidikan di UCTATI.
Anugerah tersebut disampaikan wakil Pengerusi Lembaga Pengarah UCTATI, Nik Muhammad Nasri Nik Malek merangkap Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu kepada isteri Allahyarham, Puan Sri Ailin Ton Isahak.
Suasana majlis konvokesyen tersebut turut bertukar menjadi sayu seketika apabila bukan sahaja Ailin Ton, 74, yang dilihat gagal menahan sebak ketika menerima anugerah tersebut, malah ahli keluarga serta tenaga pengajar UCTATI turut dilihat mengalirkan air mata.
Ailin Ton berkata, anugerah tersebut sangat bermakna sebagai menghargai jasa Allahyarham yang merupakan canselor pertama yang telah berkhidmat selama 13 tahun di kolej universiti tersebut bermula 1 Julai 2007 hingga 30 Jun 2020.
“Arwah seorang yang sangat komited dalam kerjaya dan bidang pendidikan terutamanya dalam membantu anak-anak negeri Terengganu.
“Saya masih ingat bagaimana arwah berusaha keras untuk mendapatkan tawaran tajaan pinjaman pelajaran Mara (Majlis Amanah Rakyat) untuk pelajar dan Alhamdulillah hasil usaha beliau, sehingga kini tujuh program di UCTATI ini mendapat tajaan pinjaman Mara,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Wan Abdul Rahman memperoleh Diploma Kejuruteraan Awam dari Kolej Teknikal, Kuala Lumpur pada 1963 dan Diploma Kejuruteraan Awam dan Struktur di Brighton College of Technology United Kingdom pada 1967.
Anak kelahiran Pulau Duyung, Kuala Terengganu ini merupakan seorang jurutera yang berpengalaman dengan mengetuai banyak badan profesional terkemuka dalam dan luar negara antaranya Institut Lebuhraya dan Pengangkutan Berkanun di United Kingdom, Institut Jurutera Malaysia dan Akademi Sains Malaysia.
Beliau mula berkhidmat di Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 1964 dan menjawat jawatan terakhir sebagai Ketua Pengarah JKR dari 1990 hingga 1996.
Kegemilangannya dalam industri kejuruteraan melayakkan beliau dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Kehormat Kejuruteraan daeu Universiti Birmingham, United Kingdom pada 1994 dan pada tahun sama beliau turut menerima anugerah The Institution of Engineers Malaysia (IEM) atas sumbangan dalam pembangunan infrastruktur negara.
Jasanya terhadap negeri Terengganu direalisasikan dengan pembinaan projek Jambatan Sultan Mahmud atau Jambatan Pulau Duyong yang menghubungkan bandar Kuala Terengganu dengan Pulau Duyong apabila beliau merupakan salah seorang jurutera yang terlibat dalam pembinaan jambatan tersebut.
Sebagai canselor, Wan Abdul Rahman sentiasa melahirkan idea bagi melahirkan teknokrat berkemahiran tinggi dan berpengetahuan selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan kolej universiti itu sebagai penyedia pendidikan teknikal terkemuka dalam bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).
Hasilnya, kolej tersebut berjaya mencapai lima bintang melalui penarafan bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (Setara).
Sementara itu, Rektor UCTATI, Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata, Allahyarham Wan Abdul Rahman bukan sahaja mempunyai keperibadian yang tinggi dan sangat baik, malah turut terkenal dengan sifat pemurahnya apabila sepanjang 13 tahun dilantik menjadi canselor, beliau tidak pernah mengambil elaunnya sebagai canselor.
“Elaun yang sepatutnya diterima itu dimasukkan dalam tabung sebagai amal jariah yang dilakukan beliau bagi membantu pelajar yang memerlukan dan hasil inspirasi beliau, kita tubuhkan tabung canselor bagi membantu pelajar golongan kurang berkemampuan yang memerlukan sokongan daripada universiti yang mana bantuan ini kita berikan dalam bentuk pinjaman ataupun sumbangan wang tunai,” katanya.
Allahyarham Wan Abdul Rahman menghembuskan nafas terakhirnya pada 2 Julai 2022 pada usia 81 tahun akibat komplikasi buah pinggang.
Pada majlis konvokesyen itu seramai 562 graduan menerima anugerah masing-masing melibatkan empat pelajar di peringkat sarjana dan 279 pelajar di peringkat sarjana muda dan diploma 279 pelajar.
Pada majlis tersebut, tiga anugerah utama iaitu iaitu Anugerah Canselor, Anugerah Pengerusi dan Anugerah Rektor turut diberikan atas kecemerlangan pelajar dan seramai 24 pelajar terbaik bagi setiap program ijazah dan diploma masing-masing juga juga turut diberikan menerima anugerah. – UTUSAN