KUALA LUMPUR: Pengalaman dimasukkan ke zon merah pada Ogos lalu menyedarkan pelakon, Ako Mustapha supaya tidak lagi mengabaikan penjagaan kesihatan, selain patuh kepada nasihat doktor.
Ako memaklumkan, keadaan kesihatannya berisiko menjadi semakin buruk sekiranya mengabaikan nasihat doktor yang menyarankan supaya mengambil suntikan insulin setiap hari.
“Hasil pemeriksaan ketika dimasukkan ke hospital tempoh hari, doktor mendapati penghasilan insulin dalam badan saya jatuh ke tahap sangat membimbangkan.
“Sekarang saya perlu menyuntik insulin, minimum empat kali sehari sebelum makan. Meskipun sudah tiga bulan mengambil suntikan, ia masih menakutkan kerana saya tidak biasa dengan keadaan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ako pada Ogos lalu dimasukkan ke zon merah (zon kritikal) Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana masalah kekurangan insulin dalam badan.
Pelakon tersebut dikejarkan ke hospital selepas saraf dan otot tubuhnya gagal berfungsi dengan baik.
Kata pemilik nama sebenar, Muhaizad Ahmad Mustapha ini lagi, dia juga mula memantau tahap kesihatan secara berkala, pada masa sama memastikan pemakanan dijaga dengan betul.
“Doktor terpaksa ‘sekolahkan’ saya demi kebaikan. Terserah sama ada saya mahu ikut cakap mereka atau mati.
“Sebelum ini, saya kurang beri perhatian terhadap masalah kencing manis yang saya hidapi. Saya tidak pernah buat saringan, sebaliknya hanya jaga makan dan ambil herba sebagai ubat-ubatan,” jelasnya. – UTUSAN









