Akhbar Utusan Malaysia, Kosmo! kembali di Langkawi - Utusan Malaysia

Akhbar Utusan Malaysia, Kosmo! kembali di Langkawi

SYED Hassan Syed Abu Bakar menyusun akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! yang diterimanya untuk dijual di gerainya di Jalan Persiaran Putra, Kuah, Langkawi. – UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Setelah lebih dua tahun tidak menerima bekalan surat khabar, penduduk Langkawi kini dapat membaca semula dua akhbar terbitan Media Mulia Sdn. Bhd. iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo! secara fizikal.

Naskhah surat khabar yang biasanya dihantar menggunakan trip pertama feri penumpang dari Kuala Perlis setiap hari sebelum ini terhenti penjualannya seketika semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 2020 disebabkan perjalanan feri yang terhad.

Sejak itu, tiada satu naskhah dijual di mana-mana kawasan di pulau ini, sehinggakan ada sesetengah hotel mencetak naskhah digital untuk tetamu.

Seorang penjual surat khabar, Syed Hassan Syed Abu Bakar, 74, yang berniaga akhbar di Jalan Persiaran Putra, Kuah di sini sejak 2004 berkata, dia kini menerima semula bekalan kedua-dua akhbar itu sejak awal bulan ini.

“Pembekal beri lebih kurang 40 naskhah untuk setiap penerbitan dan setakat ini, hanya ada Utusan Malaysia dan Kosmo! dijual di gerai saya,” katanya ketika ditemui semalam.

Jelasnya, naskhah akhbar fizikal masih mendapat permintaan pembaca walaupun ramai yang mengikuti laporan berita secara dalam talian.

“Ibu bapa atau pelajar sekolah membeli surat khabar terutama­nya menyediakan ruangan U Skor A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mereka mengulang kaji pelajaran,” katanya.

Syed Hassan yang menjual pelbagai jenis surat khabar turut berkongsi pengalaman melihat sendiri jatuh bangunnya sesuatu penerbitan serta perubahan saiz naskhah itu sendiri.

“Saya berharap lebih banyak naskhah surat khabar termasuk Utusan Malaysia dan Kosmo! dapat dijual di sini bagi memudahkan penggemarnya membeli akhbar tersebut setiap hari kerana banyak pengisian menarik dalam kedua-dua surat khabar itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya