Agong, Raja Permasuri tiba di Singapura

Agong, Raja Permaisuri tiba di Singapura

Al-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebelum berlepas ke Singapura dengan pesawat khas di KLIA pagi tadi. - FOTO/FACEBOOK ISTANA NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selamat tiba di Singapura hari ini bagi mengadakan lawatan negara ke republik berkenaan bermula hari ini hingga 28 Oktober ini.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua serta delegasi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura kira-kira 10.50 pagi, yang turut disertai anakanda Seri Paduka, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah.

Terdahulu, Istana Negara dalam hantaran di laman Facebook memaklumkan, Seri Paduka berdua berkenan berangkat ke Singapura pada hari ini bagi memulakan lawatan negara sehingga 28 Oktober ini.

“Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin hadir untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka Baginda berdua.

“Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah,” kata Istana Negara.

Selain itu katanya, sebelum berangkat, Seri Paduka Baginda berdua menerima tabik Hormat Diraja daripada Batalion 1 Rejimen Askar Melayu Diraja dengan diiringi tembakan meriam 21 das dan lagu Negaraku.

Keberangkatan Seri Paduka berdua diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak dan pegawai daripada Istana Negara, Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Luar.

Difahamkan, sempena lawatan ke Singapura itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadualkan berangkat untuk melawat Asian Civilisations Museum dan Edible Garden City pada hari ini.

Raja Permaisuri juga dijadualkan berangkat mengadakan lawatan Gardens By The Bay pada malam ini, dengan turut diiringi Tengku Puteri Afzan.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadualkan menerima menghadap Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan isteri di Hotel Shangri-La Singapura esok dan disusuli dengan majlis santapan tengah hari.

Pada sebelah petangnya, Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat ke Majlis Sambutan Negara di The Istana, Orchard Road dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Singapura Halimah Yacob, serta disusuli dengan Majlis Santapan Negara.

Keesokan harinya, Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat melawat loji NEWater, kemudiannya ke Kem Latihan Komando di Pasir Ris, manakala Tunku Azizah dijadualkan melawat beberapa tempat bersejarah antaranya National Library dan National Museum of Singapore.

Seri Paduka berdua akan turut berangkat ke majlis santapan malam dan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Singapura pada Khamis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN