PARIT BUNTAR: Pengerusi PKR Perak, Chang Lih Kang mendakwa terdapat segelintir pihak dalam parti itu tidak bersetuju jika Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, terdapat penentangan daripada pimpinan PKR terhadap kerjasama dengan Muda.
“Ada yang sokong dan ada yang bantah namun yang penting adalah keputusan daripada Majlis Presiden PH,” katanya selepas Himpunan Harapan Perak Bangkit di Pekan Tanjung Piandang di sini semalam .
Lih Kang berkata, beliau tidak melihat jalinan kerjasama Muda dengan PH sebagai satu liabiliti.
“Semua parti ada pengaruh dan kekuatan masing-masing cuma yang kita bincangkan adalah apa bentuk kerjasama yang ingin dibuat oleh Muda,” katanya.
Lih Kang berkata, perbincangan pembahagian kerusi PH di Perak untuk PRU15 hampir selesai.
Katanya, PKR akan bertanding dan mempertaha kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kurau dan beberapa kerusi yang lain pada PRU15.
“Kerusi yang PKR tandingi ini adalah kerusi itu dikhianati oleh calon yang bertanding atas tiket PKR pada PRU14 ” katanya. – UTUSAN