21.2 juta tentukan masa depan negara

21.2 juta tentukan masa depan negara

SEJUMLAH 21.2 juta rakyat Malaysia layak mengundi dalam PRU15 untuk memilih kerajaan yang stabil bagi memacu pemulihan ekonomi negara bagi tempoh lima tahun akan datang. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 21,179,773 pe­­ngundi bertanggungjawab untuk me­­milih kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang tarikh pe­ngundiannya akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 20 Oktober ini.

Jumlah itu adalah berdasarkan se­narai daftar pemilih yang dikemas kini pada 15 September lalu.

Di tangan para pengundi inilah ter­­letaknya tanggungjawab untuk me­milih kerajaan yang stabil, serta mampu memimpin negara ke arah pemulihan ekonomi termasuk mengharungi ketidaktentuan yang dijangka melanda dunia tahun depan.

Kerajaan stabil penting kerana sejak PRU14 pada 2018 suasana politik Malaysia bercelaru yang menyaksikan tiga kali bertukar Perdana Menteri iaitu bermula dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 10 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020; Tan Sri Muhyiddin Yasin (1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (21 Ogos 2021 hingga 10 Oktober 2023).

Jumlah pengundi ini meliputi 5,718,760 orang pemi­lih didaftarkan sehingga 31 Disember 2021 selepas pindaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dikuatkuasakan pada 15 Disember tahun lalu melalui pe­wartaan penetapan tarikh permulaan kuat kuasa Seksyen 3 Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Bermula tahun ini, daftar pemilih tambahan secara automatik diperaku dan diwartakan pada setiap bulan dan setakat pewartaan pada 15 September lalu, ia meliputi seramai 317,237 pemilih didaftar automatik bagi 18 tahun dan ke atas.

Mengikut pecahan setiap bulan daftar pemilih tambahan, pada Januari 2022 merekodkan sebanyak 36,408 orang warganegara; 38,004 (Februari); 40,543 (Mac) dan 40,201 orang (April), 38,798 (Mei) dan 38,786 (Jun), 40,989 (Julai) dan 43,508 (Ogos).

Pada 10 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen bagi membuka laluan mengadakan PRU15 selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut kebiasaan, DPT diwartakan pada setiap 19 hari bulan dan sekiranya tarikh PRU15 melepasi 19 Oktober ini, dijangka jumlah pemilih tambahan bagi September sempat untuk diperaku dan diwartakan.

Mengikut trend jumlah DPT setiap bulan, sekitar 35,000 ke 40,000 lagi warganegara diperakukan sebagai pemilih dan jumlah itu amat besar sebagai satu mandat rakyat untuk pembentukan sebuah kerajaan baharu.

Peralihan fasa ke endemik memberi kelebihan dalam PRU15 kali ini berbanding pelaksanaan empat Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini iaitu Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor yang diadakan dalam tempoh pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, SPR dipercayai menetapkan prosedur operasi standard (SOP) dengan membuat semakan dengan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi pelaksanaan PRU15.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, SPR sudah membuat persediaan rapi sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak dijangka seperti banjir di pusat me­ngundi yang dinaiki air, berlaku kekecohan atau pelbagai kemungkinan lain.

Kata beliau, ia sebagaimana amalan biasa SPR mengikut ta­tacara yang ditetapkan di bawah undang-undang Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya ) 1981 dengan memberikan program latihan kepada para petugas yang dilantik.

“SPR memberikan latihan praktikal terperinci kepada para petugas pilihan raya, terutama dalam kalangan Ketua Tempat Mengundi (KTM) di setiap saluran di Pusat Mengundi.

“Tindakan kerja langkah demi langkah sudah disediakan mengikut tatacara kerja yang ditetapkan. Jadi tidak ada masalah berhubung persediaan menghadapi bencana,” kata­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×