PETALING JAYA: Sebanyak 26,502 murid di seluruh negara telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3 juta sejak Mac lalu.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Jefferey Nor Mohamed berkata, bantuan dalam bentuk wang tunai sebanyak RM100 itu sedikit sebanyak membantu ibu bapa atau penjaga membuat persiapan untuk anak-anak.
Terbaharu katanya, seramai 300 murid dalam kalangan keluarga B40 dan asnaf di Parlimen Putatan, Sabah menerima bantuan persekolahan berjumlah RM30,000 menerusi YBR dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Kasih Komuniti Sabah (COTERIE).
“Selain misi membantu mereka yang daripada keluarga yang kurang berkemampuan terutama asnaf dan miskin bandar dalam memberi peluang kepada mereka untuk mendapat pendidikan yang baik.
“Saya berharap inisiatif seperti ini turut dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung ibu bapa dalam mengharungi pasca pandemik Covid-19 yang telah melanda di seluruh negara.
“Misi YBR adalah membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan terutama masyarakat luar bandar, pendalaman dan miskin bandar,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Majlis penyerahan bantuan di Parlimen Putatan itu turut dihadiri oleh Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani, Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin dan Pemimpin Pemaju Masyarakat N22 Tanjung Aru, Mohamad Ridhuan Aklee.
Dalam pada itu, Jefferey berharap inisiatif sedemikian menjadi pendorong kepada organisasi-organisasi lain untuk turut sama membantu memberikan bantuan pendidikan tanpa mengira bentuk.
“Bantuan ini bukan sahaja membantu masyarakat malah membuktikan badan-badan korporat turut mengambil berat terhadap mereka yang memerlukan”, kata Jefferey. – UTUSAN