Warisan tidak mahu jadi parti penumpang  - Utusan Malaysia

Warisan tidak mahu jadi parti penumpang 

MOHD. Shafie Apdal (tiga dari kiri) menyerahkan watikah pelantikan kepada Fadzil Hanafi sebagai Pengerusi Warisan Kedah ketika pelancaran di Alor Mengkudu, Alor Setar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengakui terdapat banyak pihak yang mahu bekerjasama dengan parti pimpinannya bagi membentuk gabungan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun katanya, ketika ini fokus Warisan tertumpu kepada usaha memantapkan kekuatan parti yang diibaratkan sebagai sebuah rumah.

Katanya, kekuatan parti sewajarnya diberi perhatian terlebih dulu agar Warisan tidak hanya bersifat sebagai penumpang atau mengemis dalam sesebuah gabungan.

“Ramai nak berhubung, itu perkara biasa. Tetapi buat masa ini kita nak rumah sendiri yang tangganya kena culik, tingkap kena beli, dibaiki dulu dan dimantapkan. Tak ada ertinya kita bergabung dalam keadaan parti masih belum mantap. Kita tak nak menumpang kepada parti-parti lain seakan-akan kita mengemis hingga akhirnya timbul masalah di kemudian hari,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan parti itu bagi negeri Kedah di Jalan Alor Mengkudu di sini hari ini.

Kepimpinan parti itu di Kedah diketuai bekas Exco kerajaan negeri, Datuk Fadzil Hanafi sebagai pengerusi manakala jawatan timbalan pengerusi diisi Dr. Mohamed Ibnu Hassan Thalha.

Mengulas mengenai penerimaan penduduk Semenanjung terhadap parti yang berasal dari Sabah itu, Mohd. Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, sambutan diterima cukup menggalakkan termasuk kalangan profesional serta bekas-bekas wakil rakyat parti lain.

“Ketika pelancaran Warisan di Pulau Pinang semalam, terdapat dua pegawai kanan bank dan dua doktor pakar menyertai kita. Di Perlis pula, kita ada bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) menyertai parti ini. Mereka ini individu yang berkeupayaan. Jadi, takkan mereka nak masuk Warisan kalau parti ini tidak dilihat sebagai landasan alternatif kepada pembangunan negara?” Soalnya. 

Ditanya mengenai jumlah kerusi akan ditandingi Warisan, Mohd. Shafie berkata, perkara itu hanya akan diumumkan apabila tiba masanya nanti.

“Seperti disebutkan sebelum ini, kita takkan bertanding semua 222 kerusi Parlimen. Kita sedar kekuatan dan keupayaan parti ini dan semua itu perlu diukur. Kita kena tertib dan teliti secara mendalam. Daripada bertanding banyak kerusi tetapi tiada yang menang di sesebuah negeri, lebih baik kami fokus bertanding di dua atau tiga kerusi saja yang boleh memberi kemenangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN