SUNGAI PETANI: Seorang gadis maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung sebuah motosikal lain yang dibawa secara melawan arus di Jalan Lencongan Barat, di sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 12.10 tengah malam itu, mangsa yang berusia 19 tahun dan berasal dari Kampung Masjid Baru Semeling, Bedong meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan membabitkan tiga buah motosikal.
Beliau berkata, mangsa yang menunggang secara bersendirian motosikal jenis Benelli itu sedang dalam perjalanan dari Sungai Jagung menghala ke Sungai Layar.
“Pada masa sama, seorang lelaki berusia 52 tahun menunggang motosikal jenis Modenas Kriss secara melawan arus di laluan sama. Tiba di tempat kejadian, kedua-dua motosikal tersebut bertembung menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian, manakala penunggang yang melawan arus mengalami cedera di tangan.
“Dalam pada itu, sebuah lagi motosikal ditunggang seorang wanita berusia 20 tahun datang dari arah belakang mangsa cuba mengelak lalu hilang kawalan dan terjatuh di lorong kiri dan mengalami cedera di muka,” katanya..
Menurut Zaidy, mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini untuk bedah siasat manakala seorang lagi penunggang wanita yang cedera dirawat di hospital sama.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN