‘Wadah Aspirasi Radzi ‘kabur’, tiada idea hala tuju pendidikan’

‘Wadah Aspirasi Radzi ‘kabur’, tiada idea hala tuju pendidikan’

ANUAR AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Wadah Aspirasi yang diperkenal Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin masih kabur tanpa hala tuju yang jelas bagi sistem pendidikan negara. 

Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, ini kerana program tersebut lebih kepada berkongsi pencapaian lepas, namun tidak menyentuh beberapa isu besar yang sering menjadi pertikaian dalam sistem pendidikan negara. 

“Malangnya tidak ada sentuhan idea untuk bahagian yang kedua tentang apakah wawasan, aspirasi dan hala tuju kukuh untuk sistem pendidikan negara kita selepas ini? Tiada pemikiran besar tentang dasar keadilan pendidikan dan transformasi pendidikan dalam era 4IR (revolusi perindustrian keempat). 

“Selain itu, tiada pemikiran besar tentang dasar kurikulum pendidikan untuk keperluan industri atau wawasan memperkasa kemenjadian murid yang lebih segar pasca pandemik. Saya tertunggu-tunggu juga sentuhan sedemikian dalam wadah aspirasi kali ini. Sayangnya tiada. 

“Wacana Wadah Aspirasi pagi ini nampaknya memberi isyarat jelas bahawa pemimpin pendidikan negara kita masih lagi selesa bergelumang dalam ‘kubang’ pengurusan pendidikan dan belum bersedia berada di atas pentas ‘kepimpinan pendidikan’,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Jelas Anuar, meskipun terdapat pelbagai kejayaan dicatatkan Kementerian Pendidikan, ada beberapa tindakan kementerian dilihat kurang sesuai dan menimbulkan lebih banyak isu berbanding penyelesaian. 

“Misalnya pemansuhan UPSR dan PT3 secara tergesa-gesa (sepatutnya difasakan) menimbulkan banyak kekeliruan pada guru dan masyarakat khususnya ibu bapa. Pengajaran dan pembelajaran (PdP) untuk tujuan peperiksaan dengan PdP untuk pentaksiran berterusan memerlukan pendekatan yang berbeza. Akhirnya keputusan pemansuhan UPSR dan PT3 yang tergesa-gesa dilihat banyak mengganggu fokus pembelajaran murid-murid dan ibu bapa hilang kawalan dalam meningkatkan motivasi pembelajaran anak-anak mereka. 

Kedua, isu beban tugas guru (bukan pengajaran) yang melampau juga tidak selesai. Walaupun guru di seluruh negara menyuarakan isu beban tugas bukan pengajaran telah menganggu fokus pengajaran mereka setiap hari, tiada usaha untuk menyelesaikan isu ini. Paling akhir, adalah satu tinjauan secara dalam talian yang telah dilakukan. Kemudian senyap.

“Isu ketiga yang belum selesai ialah beg sekolah berat. Kita sedar penyediaan loker dan penjadualan semula jadual waktu bukanlah penyelesaian jangka panjang. Isu sebenar beg sekolah berat ialah bilangan mata pelajaran yang banyak dan kandungan yang terlalu padat untuk murid-murid tahap satu sekolah rendah. 

“Keempat, isu sekolah daif dan sekolah kurang murid (SKM) juga belum selesai. Malah bilangannya semakin bertambah saban tahun. Perlu ada tindakan khusus untuk isu sekolah daif dan sekolah kurang murid. Usaha awal dengan menubuhkan jawatankuasa sekolah kurang murid telah dilakukan. Tapi ini bukanlah kali pertama. Sejak dulu lagi telah ada usaha,” katanya. 

Beliau berkata, isu utama iaitu melakukan desentralisasi pendidikan juga langsung tidak disentuh sedangkan di peringkat global, amalan desentralisasi dengan memberikan kepercayaan kepada sekolah dan guru-guru terbukti berjaya meningkatkan keupayaan sistem pendidikan.

“Isu keciciran pembelajaran murid juga sehingga kini tidak dibentangkan datanya. Begitu juga dengan isu kemerosotan penguasaan murid-murid dalam membaca, menulis dan mengira (3M). Tiada data terkini tentang penguasaan 3M untuk dikongsikan dengan masyarakat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya