KANGAR: Kepemimpinan tertinggi UMNO sudah tentu telah membuat pertimbangan sewajarnya bagi melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-15 tahun ini demi menjaga kebajikan rakyat.
Naib Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais berkata, segala kajian telah dilakukan terlebih dahulu sebelum pimpinan parti itu memutuskan untuk menyegerakan PRU15 pada tahun ini.
Katanya, pelaksanaan PRU-15 dengan kadar segera juga dapat memastikan negara ini memiliki sebuah kerajaan yang stabil dalam ketidaktentuan politik pada masa kini.
“Kalau kita lihat mana-mana negara yang berlaku krisis politik, ia boleh menyebabkan kekangan pelabur untuk datang dan pastinya keadaan itu memberi kesan negatif,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Simulasi Pengurusan PPS di Dewan Rumah Anak Yatim Mak Teh di sini hari ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) sebelum ini menyatakan bahawa seluruh jentera sudah bersedia untuk mengharungi banjir sekiranya PRU15 diadakan pada tahun ini.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi meramalkan negara akan berdepan hujan lebat berterusan mulai pertengahan November akan datang yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.
Dalam pada itu, Ruzaini berkata, pentadbiran kerajaan campuran akan mengundang masalah berikutan sesuatu keputusan yang hendak dibuat bakal mengambil masa yang lama untuk dimuktamadkan.
“Perkara sebeginilah yang menyebabkan kita memerlukan sebuah kerajaan yang stabil berikutan ia turut melibatkan kebajikan rakyat di negara ini,” katanya.- UTUSAN










