Kredit: Arma Mohd. Faizal Abu Bakar, Pensyarah Kanan, UiTM Cawangan Terengganu
Instagram: @armafyzal
HUJUNG minggu sering menjadi detik yang dinanti-nantikan, terutama bagi anak-anak yang pulang dari asrama mahupun pasangan yang tinggal berjauhan.
Saat seluruh ahli keluarga kembali berkumpul, pastinya si ibu atau isteri ingin menyediakan hidangan istimewa sebagai tanda kasih sayang.
Seri kongsikan resipi ketam masak lemak cili api untuk dihidangkan ketika makan tengah hari bersama keluarga tercinta.
Untuk minum petang pula, kuahnya boleh dijadikan pencicah cekodok bawang atau sayur.
Bahan-bahan:
• 2 kilogram ketam bunga (dibersihkan dan dipotong dua)
• 30 gram kunyit hidup (dikisar)
• 50 gram cili padi (dikisar)
• 500 mililiter air
• 1 biji nanas (dipotong nipis)
• 2 batang serai (diketuk)
• 2 helai daun kunyit (dikoyakkan)
• 1 liter santan segar
• 3 tangkai cili merah (dibelah dua)
• 3 tangkai cili hijau (dibelah dua)
• Garam secukup rasa
Cara Penyediaan:
• Masukkan serai, bahan kisar (kunyit hidup dan cili padi) bersama air ke dalam periuk, kemudian didihkan.
• Setelah mendidih, masukkan nanas. Tunggu sehingga nanas lembut atau air berkurangan, kemudian, tuangkan santan segar.
• Biarkan bahan mereneh sambil kacau berterusan bagi mengelakkan santan pecah. Seterusnya, masukkan ketam.
• Apabila ketam hampir masak, tambahkan daun kunyit, garam secukupnya, serta cili merah dan hijau.
• Reneh sambil dikacau selama kira-kira 10 minit.
• Sedia untuk dinikmati bersama nasi putih.










