Tukang besi belajar buat senapang angin melalui YouTube ditahan - Utusan Malaysia

Tukang besi belajar buat senapang angin melalui YouTube ditahan

MOHD. Yusri Hassan Basri (dua dari kiri) menunjukkan senapang angin dan dadah yang dirampas dalam Op Tapis Khas dalam sidang akhbar di IPK Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki ditahan bersama tiga laras senapang angin buatan sendiri dan sepucuk pistol tiruan dalam serbuan Op Tapis Khas di sebuah rumah di Taman Mewah Jaya di Sitiawan, Isnin lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, dalam serbuan pada pukul 12.30 tengah malam itu, polis turut merampas satu balang gas yang diubah suai, satu pasang gari bersama sarung dan dua anak kunci gari.

Katanya, turut ditemukan di rumah suspek berusia 39 tahun itu sebungkus plastik lutsinar mengandungi dadah dipercayai jenis methamphetamine seberat 6.34 gram bernilai RM350.

“Berdasarkan soal siasat, lelaki terbabit memberitahu senapang angin yang dirampas itu buatannya sendiri. Dia juga mengaku minat dan belajar cara-cara membuat senjata itu sejak sebulan lalu melalui YouTube. Senjata itu dikatakan digunakan suspek untuk kegunaan sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Menurut Mohd. Yusri, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah selain mempunyai satu rekod kesalahan lampau bersabit kes narkotik.

“Suspek direman tiga hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 22 tahun bersama beg sekolah yang berisi 10 bungkusan plastik mengandungi 4.5 kilogram (kg) dadah jenis heroin, Isnin lalu.

Katanya, lelaki yang juga penganggur dan berasal dari Pulau Pinang itu ditahan pada pukul 5.30 petang ketika baru tiba di Terminal Bas Meru Raya di sini.

“Ujian saringan air kencing ke atas suspek negatif namun dia mempunyai satu rekod lampau bersabit kes dadah. Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM158,730 dan boleh digunakan untuk 15,000 penagih. Dadah tersebut disyaki diedarkan untuk pasaran tempatan,” katanya.

Tambah beliau, suspek direman tujuh hari mulai Selasa hingga Isnin depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya