PETALING JAYA: Tiada keperluan untuk menambah syarat baharu pencalonan dengan melarang individu yang sedang dibicarakan di mahkamah daripada bertanding pilihan raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, syarat bagi pencalonan pilihan raya sedia ada telah mencukupi sebagaimana termaktub dalam Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, undang-undang itu menjelaskan calon tidak layak bertanding pilihan raya jika didapati bersalah dan dihukum dengan hukuman pemenjaraan selama tempoh tidak kurang satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas.
“Perkara ini juga perlu dibaca bersama dengan Perkara 48 (5) berkaitan penamaan, pemilihan atau pelantikan mana-mana orang ke mana-mana satu Majlis Parlimen.
“Oleh demikian, bagi memartabatkan demokrasi, tidak perlu menambah syarat baharu menghalang individu daripada bertanding, sebagai contoh menggubal undang-undang di mana kes masih dibicarakan di mahkamah dan tidak layak bertanding,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas cadangan Dewan Ulama Pas Pusat Datuk Ahmad Yahaya agar kerajaan mengetatkan syarat kelayakan bertanding pilihan raya termasuk melarang individu berdepan perbicaraan mahkamah berkaitan kes salah laku, penyelewengan dan rasuah menjadi calon.
Menurut Wan Junaidi, justeru beliau berpandangan tiada keperluan untuk menambah syarat lain bagi mengetatkan syarat pencalonan yang sedia ada.
Kata beliau, sekiranya ditambah lagi, ia akan kembali ke era 90-an di mana proses pencalonan adalah rumit.
“Adalah wajar kita berpandu kepada undang-undang sedia ada yang sememangnya lengkap dan mencukupi untuk proses pencalonan pilihan raya,” kata beliau.
Dalam pada itu, Wan Junaidi memaklumkan keahlian ahli Parlimen tidak akan tergugur melainkan syarat-syarat sebagaimana yang ditentukan di bawah Perkara 48 (4) berkaitan wakil rakyat telah dihukum dan belum mendapat pengampunan.
“Mengikut Perkara 48 (4) (c) apabila proses yang terakhir iaitu proses pengampunan gagal, maka barulah keahlian ahli parlimen tersebut tergugur dengan sendirinya,” kata beliau. – UTUSAN