“TERIMA kasih kerana masih ingat saya.” itu adalah kata pembukaan manis yang diungkapkan pelakon hebat, Ellie Suriaty Omar ketika bersua muka, baru-baru ini.
Tahun ini terlalu menduga buat pelakon berbakat besar ini. Tidak siapa menyangka, rumah tangga bersama pelakon, Azri Iskandar yang dibina selama 22 tahun, akhirnya terhenti di pertengahan jalan.
Pada awal perbualan, Ellie menceritakan tentang perasaannya yang reda dengan ketentuan Ilahi. Katanya, dia bahagia dan tidak sedikitpun menyimpan kekecewaan.
“Saya kena bersedia untuk melepaskan dan bersyukur dengan jalan hidup yang telah ditentukan. Saya terima, perkahwinan yang terbina lebih dua dekad sudah berakhir.
“Saya tidak berdendam, bahkan saya selalu mendoakan agar dia dapat meneruskan hidup dengan seseorang yang mungkin lebih baik daripada saya.
“Walaupun kami sudah berpisah, saya tidak menafikan haknya sebagai bapa kepada anak-anak saya. Dia berhak jumpa mereka. Bagi saya, ikatan kekeluargaan sangat penting.
“Bahkan dengan anak tiri juga saya rapat. Itu perkara yang akan saya kekalkan, meskipun kami bukan lagi suami isteri,” katanya.
Selepas bercerai, perkara pertama yang dicari Ellie adalah kekuatan. Tegasnya, dia tidak mahu meratapi nasib, sebaliknya bangkit merencana kehidupan yang sudah berbeza haluan.
“Saya kena sentiasa berfikiran positif. Apapun ujian yang Allah turunkan, kesakitan yang saya rasakan, saya kena bersyukur. Itu sebahagian daripada proses melepaskan perkara yang bukan lagi kepunyaan kita.
“Dendam dan sakit hati itu kita nak pikul sampai bila? Nanti kita akan jadi tidak sihat, serabut dan hilang arah. Pandangan kita akan tertutup untuk melihat ke hadapan.
“Lebih baik kita saling memaafkan. Saya tidak sempurna dan ada kelemahan. Tetapi, sebagai isteri dan ibu, saya sudah melakukan yang terbaik untuk keluarga,” katanya.
Terkilan, sakit hati
“TENTUNYA saya kesal,” Itu komen Ellie berkenaan kata-kata negatif atau tulisan jahat yang dilemparkan terhadapnya di media sosial.
Katanya, dia tidak mampu menghalang orang untuk berkata apa sahaja tentang dirinya dan lebih senang memaafkan dan melupakan.
“Kalau baca komen jahat orang, saya geleng kepala. Ada yang buat saya terkilan, sakit hati sampai menangis dibuatnya. Tetapi, saya maafkan mereka.
“Mereka yang menghamburkan kata-kata nista dan tohmahan itu tidak kenal saya secara dekat. Orang suka menilai luaran tanpa mengenali saya terlebih dahulu.
“Persepsi buruk membuatkan mereka menutup ruang untuk melihat saya dari sudut positif. Saya kena lepaskan, tidak boleh simpan kekesalan itu terlalu lama kerana ia akan meracun diri,” katanya.
Tidak mudah untuk menghadapi persepsi negatif yang datang bertubi-tubi. Kata Ellie, dia hanya mampu membalas semuanya dengan kebaikan.
“Arwah bapa saya nasihatkan, basuh kejahatan dengan kebaikan. Ikhlaskan hati. Katanya, apabila kita dianiaya, memang kita akan sakit. Tapi, jangan sesekali kita berpura-pura.
“Saya pegang kata-kata itu. Bila saya amalkan, ia menjadi kepuasan. Saya tahu, ada orang yang cuba menganiaya, mempergunakan atau mempermainkan saya. Tapi, saya tidak tunduk dengan permainan mereka.
“Saya perhatikan sahaja. Untuk saya membalas kejahatan mereka, tidaklah. Sebab saya pegang nasihat arwah ayah, hidup biar jujur, ikhlas berbuat kebaikan,” katanya lagi.
Impian belum terlaksana
PEMENANG Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-16 ini memaklumkan, dia mengimpikan untuk melakonkan watak seorang srikandi.
Katanya, sebagai pelakon, dia telah melakonkan banyak karakter. Bagaimanapun, dia masih belum berpeluang membawakan watak berkenaan.
“Impian itu belum tercapai lagi. Watak yang berjuang untuk tanah air seperti Tun Fatimah dan sebagainya.
“Watak sebegini membawa tiupan semangat yang sangat besar. Seorang wanita yang tidak lemah, berjuang habis-habisan untuk negara sehingga titisan darah terakhir.
“Saya belum pernah melakonkan watak seperti itu. Jadi, saya masih menantikannya,” ujarnya.
Ellie juga berharap, dia diberikan kudrat untuk terus menabur bakti kepada industri seni.
Katanya, ilmu dan pengalaman yang dimiliki sepanjang lebih dua dekad bergelar anak seni perlu dicurahkan untuk manfaat generasi akan datang.
“Untuk 10 tahun akan datang, Insya-Allah, saya akan terus berada dalam industri kreatif. Curahkan sebanyak mungkin ilmu yang ada untuk dimanfaatkan generasi akan datang.
“Ilmu yang ditinggalkan berguna untuk mereka yang masih hidup. Selagi bernyawa, saya akan terus menabur bakti,” ujarnya.
Suami orang? Minta dijauhkan
JODOH ketentuan Tuhan. Pelakon yang mencipta nama menerusi filem Spinning Gasing ini tidak menolak hakikat tersebut.
Bagaimanapun, katanya, buat masa ini, dia tidak mahu hidup berteman. Katanya, biarlah dia hidup bersendirian, cukup ada anak-anak di sisi.
“Sebagai manusia, kita akan berasa sunyi. Sebagai wanita pula, saya berasakan perlu ada lelaki dan suami dalam hidup saya. Tetapi, buat masa ini, saya ketepikan dulu perkara itu.
“Saya rasa orang takut mahu mendekati saya. Mungkin mereka ingat saya garang. Biarlah orang nak fikir apapun tentang saya. Apa yang penting, saya bahagia. Begitu juga Azri, saya pasti dia juga gembira,” kongsinya.
Kata Ellie lagi, jika ditakdirkan berkahwin lagi, dia berharap agar dijauhkan daripada bertemu jodoh dengan suami orang.
“Saya belum terfikir lagi untuk kembali ada lelaki atau suami dalam hidup. Lainlah kalau saya masih muda. Umur saya sudah menjangkau 51. Lelaki mana yang mahukan wanita berusia, kebanyakan mereka mahukan yang lebih muda.
“Saya tidak menolak jodoh. Masa depan kita tidak tahu. Tetapi, kalau boleh janganlah berjodoh dengan suami orang.
“Saya faham perasaan seorang isteri apabila suami mereka ‘bersama’ orang lain. Memang sakit,” katanya








