Terengganu pasang 187 stesen hidrologi pantau banjir

Terengganu pasang 187 stesen hidrologi pantau banjir

NORMI Bedol menunjukkan salah satu Siren Amaran Banjir yang dipasang di Kampung Ismail, Ampangan, Seremban.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Sebanyak 187 stesen hidrologi pemantauan banjir dipasang di seluruh negeri ini bagi memberi amaran awal kepada penduduk di kawasan berisiko bencana tersebut.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, semua sistem amaran tersebut berbunyi apabila paras sungai mencecah tahap bahaya.

Katanya, sebanyak 87 stesen hidrologi beroperasi sebelum ini manakala tambahan 34 stesen daripada Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) Fasa Satu sudah beroperasi sejak Ogos tahun lalu.

“Selain itu, sebanyak 66 lagi stesen baharu daripada PRAB Fasa Dua yang sedang dalam pembinaan pula dijangka siap pada November ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu berkata, kesemua stesen hidrologi amaran awal banjir tersebut sudah memadai untuk memantau paras air di lokasi berisiko.

“Cuma langkah kesedaran kepada orang awam untuk berpindah awal perlu ditingkatkan kerana ada segelintir penduduk masih ambil mudah dan tidak hiraukan siren amaran,” katanya.

Sementara itu, Hanafiah memberitahu,  sebanyak 21 siren amaran awal banjir dipasang untuk memberikan amaran bahaya  kepada penduduk di kawasan berisiko banjir supaya segera berpindah ke tempat selamat termasuk pusat pemindahan sementara (PPS).

“Daerah Setiu mempunyai jumlah siren paling banyak iaitu enam unit diikuti Hulu Terengganu (lima), Kemaman (empat), Besut (tiga) dan masing-masing satu di Dungun, Marang dan Kuala Nerus,” ujarnya.

Pada masa sama, tambahnya, setakat ini, tujuh unit kamera web yang dipasang di beberapa sungai utama di enam daerah menjadi penanda aras amaran awal banjir.

Tambahnya, dua daripadanya dipasang di sungai daerah Kemaman dan masing-masing satu di Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Dungun.

“Ini dapat membantu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat pemantauan 24 jam secara ‘real time’ dari jauh tanpa perlu ke lokasi sungai-sungai tersebut,” katanya.

Sementara itu di Seremban, sebanyak 107 stesen hidrologi, termasuk 41 buah stesen baharu akan dimiliki di Negeri Sembilan bagi membuat pengesanan awal kejadian banjir.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Ir. Saari Abdullah berkata, ia menerusi Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 2 yang akan dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan yang melibatkan peruntukan kerajaan Persekutuan sebanyak RM7.2 juta.

KERJA-kerja memasang sebuah siren amaran awal banjir di Kampung Pasir Raja, Dungun, Terengganu.

“Negeri Sembilan memang terlibat dalam pembinaan stesen–stesen hidrologi baharu serta naik taraf stesen sedia ada di bawah pembangunan model ramalan banjir Lembangan Sungai Pahang semasa PRAB Fasa 1.

“Ini menjadikan negeri ini sudah dilengkapi 64 Stesen Hujan Telemetri, 16 Stesen Aras Air Telemetri dan 22 Stesen Siren.

“Bagaimanapun, dalam Fasa 2 PRAB ini, terdapat 41 stesen hidrologi baharu dibina yang dijangka berupaya memberi ramalan dan amaran banjir lebih awal,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Dalam pada itu menurut Saari, pihaknya mengenal pasti 81 lokasi di negeri ini yang kerap dilanda banjir termasuk beberapa taman perumahan di daerah ini seperti Taman Happy Garden di Rasah dan Kampung Ismail di Ampangan.

“Sehubungan itu, pihak JPS negeri sudah menyelenggara beberapa sungai dan kawasan yang terlibat termasuk kerja-kerja pendalaman sungai, pembersihan sungai dan tebing di beberapa kawasan yang terjejas.

“Kami akan memastikan kesemua kerja-kerja penyelengaraan ini disiapkan sepenuhnya sebelum berakhir pada bulan Oktober ini,” katanya yang turut mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko tersebut agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Ismail, Normi Bedol berkata, selepas kejadian banjir yang kerap berlaku di kawasan tersebut, penduduk kampung kini semakin peka dengan bunyi Siren Amaran Banjir yang disediakan oleh pihak JPS.

“Kini sudah ada dua buah Siren Amaran Banjir di kampung ini, dan memang ia benar-benar membantu penduduk kampung sebagai amaran awal. Ada beberapa kali siren ini menghadapi sedikit kerosakan, bagaimanapun pihak JPS pantas membaikinya,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya