PETALING JAYA: Dasar mengenai kenderaan elektrik (EV) yang diperkenalkan kerajaan dilihat mampu memperkukuh industri automatif negara melalui persaingan sihat.
Malah, pihak industri yakin, dengan adanya dasar yang selari Dasar Automotif Negara (NAP), ekosistem industri automotif akan menjadi lebih kukuh dan boleh mewujudkan limpahan ekonomi yang signifikan.
Menurut Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua), NAP membuka peluang pekerjaan yang mampan dalam jangka masa panjang, pelaburan dalam prasarana, memperkaya modal insan, penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Ia juga membuka komitmen terhadap perkongsian teknologi dan teknikal serta pembangunan usahawan tempatan membabitkan pembekal dan pengedar tempatan.
Kata Perodua, menerusi visi ‘Next Generation Vehicle’ (NxGV) yang digariskan dalam NAP, rakyat Malaysia berpeluang menikmati nilai dan inovasi lebih hebat dalam aspek mobiliti yang boleh mendatangkan manfaat kepada majoriti rakyat negara ini.
“Antara manfaatnya termasuk tawaran perkhidmatan lebih luas dan memenuhi permintaan pelanggan oleh pemain industri, perkhidmatan mobilitik tambahan seperti aspek keselamatan yang dipertingkat serta integrasi mudah alih berasaskan teknologi internet.
“Polisi, visi dan pelan hala tuju sedia ada yang digariskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berfungsi sebagai panduan yang komprehensif, telus dan konsisten untuk pemain industri automotif.
“Pujian harus diberikan kepada MITI di atas visinya menjadikan industri automotif Malaysia progresif dengan menyeimbangkan kemajuan dan keterbukaan untuk manfaat semua pihak,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Malaysia akan menjadi hab kenderaan elektrik (EV) dengan pengenalan dasar yang melibatkan nilai tambah tinggi terhadap semua syarikat automotif di negara ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pendekatan pembangunan itu bertujuan membina ekosistem mampan dan berdaya saing termasuk untuk tujuan eksport.
Sementara itu, Persatuan Pengeluar Alat Ganti Automotif Malaysia (MACPMA) menyokong dasar MITI berhubung pelaburan automotif asing.
Presiden MACPMA Chin Jit Sin berkata, dasar-dasar itu menekankan eksport, penyetempatan dan integrasi dengan rantaian bekalan domestik, yang dianggap penting untuk memperkukuh asas industri Malaysia dan daya saing perdagangan negara.
Menurut beliau, insentif pelaburan automotif dan lesen pembuatan harus selaras dengan objektif pembangunan negara, termasuk pemindahan teknologi, peningkatan keupayaan dan pertumbuhan pengeluar alat ganti tempatan.
“Pendekatan ini kritikal untuk mengekalkan dan memperkukuh ekosistem pembekal yang telah dibina melalui dekad pelaburan dan pembangunan industri.
“MACPMA bersetuju dengan MITI bahawa dasar ini bersifat pembangunan dan bukan proteksionis, memastikan pelaburan asing melengkapi serta memperkukuh pemain industri tempatan sambil mewujudkan nilai lestari sepanjang rantaian nilai automotif,” katanya dalam kenyataan.
Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai pula berpandangan, pengeluar kenderaan kebangsaan iaitu Proton dan Perodua tidak akan terjejas dengan dasar tersebut kerana kedua-dua jenama itu sudah mengatur langkah mengeluarkan kenderaan EV milik mereka sendiri.
Katanya, dua jenama itu boleh belajar dengan lebih dekat daripada jenama kenderaan EV antarabangsa supaya boleh mengeluarkan kenderaan yang memenuhi cita rasa dan kehendak pengguna di Malaysia.
“Mungkin kita perlu bersikap terbuka terhadap (pemain) antarabangsa dan belajar dengan negara lain seperti China.
“Kemudian cuba untuk bertanding dalam pasaran yang sama, Proton dan Perodua boleh mewujudkan EV yang memenuhi kriteria pengguna iaitu rakyat Malaysia serta antarabangsa,” katanya.
Proton dan Perodua dilaporkan menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 700,000 anak tempatan dengan sumbangan tahunan kira-kira empat peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Berdasarkan KDNK dominal negara pada 2024, sumbangan tersebut berjumlah lebih RM16 bilion. – UTUSAN










