Petronas pertimbang percepat Projek Kasawari seawal 2027

Petronas pertimbang percepat Projek Kasawari seawal tahun depan

EMRY Hisham Yusoff (tiga dari kiri) selepas sesi dialog sempena OTC Asia 2026 di KLCC di sini, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menilai untuk mempercepatkan pelaksanaan Projek Kasawari seawal 2027, sejajar dengan keperluan mendesak pengurangan pelepasan karbon dan usaha memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekonomi rendah karbon global.

Pengurus Besar Kanan (Huluan), Bahagian Pengurusan Karbon Petronas, Emry Hisham Yusoff berkata, pihaknya sedang meneliti kemungkinan mempercepatkan komponen utama projek, khususnya kemudahan penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS).

“Perancangan asal meletakkan pelaksanaan pada penghujung 2029/2030 ini, namun kami sedang menilai sama ada ia boleh dibawa lebih awal, mungkin seawal tahun hadapan,” katanya, 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas persidangan mengenai penskalaan, penyahkarbonan dan CCUS: mentransformasikan aset luar pesisir untuk pengeluaran tenaga mampan sempena Persidangan Teknologi Luar Pesisir (OTC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Petronas mencapai pengeluaran gas pertama di medan Kasawari di luar pesisir Sarawak, Malaysia, pada Ogos 2024, dengan sasaran kadar jualan gas sebanyak 545 juta kaki padu standard sehari (MMscfd). 

Medan ini, yang terletak di blok SK316, merupakan aset penting dengan kandungan karbon dioksida (CO2)  yang tinggi dan pelan masa depan memberi tumpuan kepada CCS. 

Menurut Emry Hisham, perubahan pendekatan ini didorong oleh perkembangan pesat dalam agenda tenaga global. 

“Ketika projek ini mula dibangunkan, fokus terhadap karbon masih terhad, namun kini ia menjadi keutamaan utama selaras dengan sasaran karbon sifar bersih,” katanya. 

Projek Kasawari dijangka mampu mengendalikan sekitar 3.3 juta tan CO2 setahun, menjadikannya antara hab CCS terbesar di rantau Asia Tenggara.

Beliau berkata, Petronas dalam perbincangan dengan Singapura dan Jepun bagi pergerakan karbon dua hala untuk membangunkan rantaian nilai pengurusan karbon rentas sempadan.

“Namun, setiap negara perlu mengekalkan fleksibiliti dasar, terutama dalam pelaksanaan harga karbon bagi melindungi daya saing industri domestik,” katanya. 

Beliau berkata, kepentingan perjanjian antara kerajaan untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek serta kerjasama antarabangsa dalam sektor ini.

Projek Kasawari dilihat sebagai tonggak penting dalam strategi tenaga negara, mengimbangi keperluan keselamatan bekalan dengan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN