PETALING JAYA: Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyimpan telefon bimbit milik Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bukanlah sebagai satu bentuk intimidasi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tindakan itu adalah sebahagian proses siasatan bagi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Kata beliau, ia bertujuan membolehkan analisis forensik digital dijalankan.
“Peranti akan dipulangkan selepas proses analisis dan siasatan selesai,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Kata Acryl Sani, sebuah telefon bimbit bersama kad sim dipercayai digunakan Rafizi untuk memuat naik hantaran diambil dan disimpan oleh pihak polis bagi proses analisis forensik digital.
Kata beliau, Rafizi dipanggil dan dirakam percakapan pada 3 September lalu bagi membantu siasatan selepas laporan polis diterima berhubung kenyataan tular di aplikasi media sosial yang didakwa berunsur fitnah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad.
“PDRM juga sedang menyiasat laporan dibuat terhadap Abdul Latiff dan sesi rakaman keterangannya sudah dijalankan.
“Proses siasatan bagi kedua-dua laporan polis adalah secara profesional tanpa sebarang bentuk tekanan seperti didakwa pihak tertentu,” jelasnya.
Justeru orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan memberikan ruang kepada PDRM untuk menyiapkan kertas siasatan.
Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan akhbar meminta PDRM menghentikan tekanan dan gangguan terhadap Rafizi susulan tindakan merampas telefon bimbit ketika memberi keterangan berhubung dakwaan terhadap Abdul Latiff. – UTUSAN










