Tekong bot, awak-awak ditahan tangguk siput secara haram - Utusan Malaysia

Tekong bot, awak-awak ditahan tangguk siput secara haram

BOT dan hasil tangkapan yang dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis di Kuala Perlis semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dua lelaki yang merupakan tekong bot dan awak-awak ditahan selepas disyaki menangguk siput secara haram pada kedudukan 0.9 batu nautika dari barat daya pesisir pantai Kuala Perlis, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, pihaknya menahan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran menerusi rondaan Op Rutin yang dijalankan sekitar pukul 6.59 petang hasil maklumat orang awam.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati suspek berkenaan disyaki terlibat dalam aktiviti menangguk siput retak seribu secara haram di perairan negeri ini.

“Nilai rampasan membabitkan bot dan hasil tangkapan siput berkenaan adalah dianggarkan bernilai RM7,550,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Hashim berkata, semua barang rampasan termasuk tekong dan awak-awak warga tempatan yang masing-masing berusia 28 dan 33 tahun itu turut dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (a) dan Seksyen 11 (3)(c).

“Aktiviti pencerobohan kawasan perikanan bagi tujuan menangguk siput secara haram masih berlaku di Perlis dipercayai berikutan negeri ini adalah habitat bagi pembiakan baka retak seribu,” katanya.

Tambahnya, Zon Maritim Kuala Perlis turut berterima kasih kepada orang awam yang bekerjasama dalam memberikan maklumat salah laku jenayah maritim.

“Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya