SHAH ALAM: Kerajaan negeri memaklumkan syarikat didakwa bermodalkan RM2 yang dipercayai menjadi antara sembilan pemilik tanah dinyahwarta di Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah (HSKBC) seluas 406 hektar itu boleh disiasat untuk melihat jika mereka menerima tanah secara tidak sah.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagaimanapun kawasan-kawasan yang dimaksudkan dalam 406 hektar tersebut masih hijau dan belum berlaku sebarang aktiviti pembersihan.

“Sama ada ia adalah kawasan yang sudah lama dinyahwarta atau pun baharu. Tetapi saya melihat daripada peta yang ditunjukkan itu adalah bukan kawasan yang dikatakan dinyahwartakan. Kami tidak buat nyahwarta pun.
“Kita boleh siasat tak ada masalah, cuma proses itu tak berlaku apa-apa sebelum ini. Mereka (syarikat) tidak masuk ke lapangan, tidak buat ukuran dan sebagainya sebab ada kekangan-kekangan tertentu,” katanya ditemui pemberita hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan empat syarikat dipercaya antara pemilik sembilan lot tanah di HSKBC didakwa bakal mengambil untung atas angin jika kerajaan negeri membatalkan nyahwartanya yang dikeluarkan pada Mei lalu.
Malah, syarikat berkenaan dikenal pasti ditubuhkan dengan perkongsian modal RM2 sebelum dianugerahkan tanah kepada setiap daripadanya seperti diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk dinyahwarta daripada hutan simpan.
Pendedahan itu dibuat Setiausaha Kumpulan Otai Reformis 1998 (Otai), Abdul Razak Ismail selepas HSKBC dilaporkan dinyahwarta sebanyak 22 kali menerusi siaran Warta Kerajaan Negeri terbaru pada 5 Mei lalu.
Dalam pada itu, Amirudin sekali lagi menegaskan pentadbirannya serta dua Menteri Besar sebelum ini iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak pernah menyahwarta hutan Bukit Cerakah.
“Tak tahulah saya, nanti YB Hee (Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian) akan menerangkan semua, bahawa kerajaan negeri yang sekarang ini tak pernah nyahwartakan kawasan itu dan ia sudah dinyahwarta lama.
“Yang kita keluarkan adalah siar warta ataupun pemakluman tentang pelan tersebut. Saya pasti kawasan yang digambarkan oleh utusan itu bukan kawasan yang dinyahwartakan. Sebab kawasan itu ada kaveat dari mahkamah, jadi tak mungkin berlaku.
“Tetapi, sepanjang ingatan saya kita tak pernah membuat nyahwarta (pada) pentadbiran ini ataupun sepanjang Pakatan Rakyat (kini Pakatan Harapan),” tegasnya. – UTUSAN











