Sumber air terdedah pencemaran - Utusan Malaysia

Sumber air terdedah pencemaran

PETUGAS Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) meletakkan penghadang untuk memerangkap pencemaran yang berlaku di Sungai Semenyih berhampiran LRA sungai berkenaan di Jenderam Hilir, Dengkil, Selangor, awal tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sumber air di negara ini terdedah kepada pencemaran ekoran berlaku kegiatan penerokaan tanah untuk pembangunan kawasan perumahan dan perindustrian tanpa kawalan.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, keadaan itu turut menyumbang kepada kemerosotan kualiti air di negara ini termasuk bekalan air yang terputus.

“Kemerosotan kualiti air juga dapat dilihat kesan daripada kegiatan pembalakan, pertanian, perlombongan dan loji rawatan kumbahan yang tidak dikawal selia dengan betul,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, sebanyak 3,933 kes pencemaran air termasuk sungai dan tasik direkodkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam tempoh empat tahun sejak 2018 sehingga Ogos lalu.

Daripada jumlah itu katanya, aduan tertinggi diterima adalah pada 2019 iaitu melibatkan 986 kes direkodkan diikuti 2020 (915 kes); 2021 (862 kes) dan 2018 (673 kes) serta Januari sehingga Ogos lalu (497 kes).

Antara sub aduan yang dilaporkan membabitkan sungai, tasik, parit, efluen, loji kumbahan, laut dan perlombongan serta lain-lain punca air.

“Kawalan menerusi penguatkuasaan pematuhan punca-punca ini bukan sahaja digalas oleh JAS malah melibatkan pelbagai jabatan dan agensi di peringkat Persekutuan, negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Bagi mengatasi perkara ini, tindakan secara kolektif dan holistik amat diperlukan. Sekiranya perkara ini tidak dibendung dengan kadar segera, tidak mustahil kesan pencemaran air terutamanya di sungai menjadi punca berlakunya gangguan bekalan air,” katanya.

Wan Abdul Latiff berkata, hasil kajian pihaknya mendapati, punca utama pencemaran air berlaku adalah akibat daripada parameter Keperluan Oksigen Biokimia (BOD) dan parameter Ammoniakal Nitrogen (AN) menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai di negara ini.

“BOD yang tinggi kerap kali dikaitkan dengan pengolahan sisa kumbahan yang tidak mencukupi atau akibat pelepasan efluen daripada industri pengilangan dan berasaskan pertanian.

“Punca utama AN pula dikaitkan dengan aktiviti penternakan dan kumbahan domestik seterusnya menyebabkan berlakunya pencemaran air,” jelasnya.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, JAS tidak menjalankan pemantauan kualiti air di tasik sebaliknya agensi terbabit berperanan dalam mengawal kualiti air di 670 aliran sungai seluruh negara.

Jelas Wan Abdul Latiff, terdapat 1,351 stesen pengawasan kualiti air sungai di seluruh Malaysia dibangunkan tahun lalu bagi memastikan status kualiti air sungai sama ada bersih, separa tercemar atau tercemar.

“Dari segi Indeks Kualiti Air (IKA), terdapat peningkatan kategori air sungai bersih daripada 443 aliran air sungai dengan merekodkan 66 peratus pada 2020 kepada 489 aliran air sungai dengan 73 peratus tahun lalu.

“IKA bagi kategori aliran air sungai tercemar mencatatkan penurunan daripada 34 aliran air sungai (lima peratus) pada 2020 kepada 23 aliran air sungai (tiga peratis) pada 2021,” jelasnya.

Laporan muka hadapan Utusan Malaysia pada 1 September lalu melaporkan, kira-kira 70 peratus daripada 26 tasik semula jadi dan buatan di negara ini didakwa tercemar akibat aktiviti pembalakan, pencerobohan hutan serta dijadikan tempat pembuangan sampah.

Keadaan itu menyebabkan ekosistemnya terganggu dan sekira tidak dikawal ia mungkin menerima nasib yang sama seperti Tasik Chini dan Tasik Mentiga di Pahang.

Presiden Pertubuhan Sahabat Alam Sekitar Malaysia (SAS), Datuk Seri Abdul Malek Yusof berkata, antara yang didakwa tercemar ialah Tasik Bakun, Sabah, Tasik Timah Tasoh, Perlis dan beberapa lagi di Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN