Sri Lanka bakal luluskan RUU hadkan kuasa presiden - Utusan Malaysia

Sri Lanka bakal luluskan RUU hadkan kuasa presiden

PENUNJUK perasaan berkumpul dalam perkarangan istana Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa di Colombo. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOMBO: Menteri Luar Sri Lanka, Ali Sabry memaklumkan, pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan kuasa presiden dijangka menjadi undang-undang dalam tempoh dua minggu lagi.

“Pindaan baharu ini akan mengurangkan kuasa presiden dan membawa balik konsep pentadbiran bersama,” katanya kepada pemberita di kementeriannya.

Rang undang-undang (RUU) itu, yang memerlukan sokongan dua pertiga di Parlimen untuk dijadikan akta, disyorkan bagi mengukuhkan kestabilan dan meredakan protes yang dicetuskan krisis kewangan terburuk dalam sejarah Sri Lanka.

Krisis memuncak Julai lalu apabila presiden ketika itu, Gotabaya Rajapaksa, yang dituduh gagal mentadbir urus negara, melarikan diri meninggalkan negara dan meletak jawatan, digantikan Ranil Wickremesinghe.

Cadangan pindaaan itu akan mewujudkan sebuah majlis Perlembagaan dan sembilan jawatankuasa bebas bagi menambah baik pentadbiran.

Jawatankuasa berkenaan akan berusaha menggalakkan hak asasi manusia, meningkatkan audit terhadap agensi kerajaan dan menambah baik serta memperkukuhkan siasatan anti rasuah.

Sabry berkata, Sri Lanka juga kini dalam proses menggubal undang-undang anti keganasan yang baharu, selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.

Menjelang permulaan sesi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) minggu depan, Sabry berkata Sri Lanka membantah sebarang usaha antarabangsa bagi mengumpul bukti mengenai dakwaan pencabulan hak asasi ketika perang negara itu menentang Harimau Pembebasan Tamil Elam (LTTE).

“Pendirian kami jelas, kami teruja untuk menyertai masyarakat antarabangsa dan mahu berbincang dengan rakan kami pada peringkat dua hala dan pelbagai hala.

“Bagaimanapun, kami tidak dapat bersetuju dengan campur tangan sebarang mekanisme luar kerana Perlembagaan kami tidak mengizinkan,” katanya. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN