PETALING JAYA: Kira-kira 59 kakitangan universiti awam dan swasta ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh 2017 hingga Ogos 2022 lalu selepas terlibat rasuah, salah guna kuasa, tuntutan palsu dan lain-lain kesalahan kewangan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pencegahan), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, ia membabitkan 55 kakitangan universiti awam dan empat kakitangan universiti swasta.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 49 daripadanya iaitu 48 kakitangan universiti awam dan seorang kakitangan universiti sudah pun didakwa di mahkamah.
“Baru-baru ini ada satu kes seorang pengarah sebuah universiti awam ditangkap oleh SPRM kerana didakwa menerima kereta sebagai dorongan membantu syarikat mendapatkan tender bernilai kira-kira RM1.6 juta.
“Pada Julai tahun ini, seorang profesor universiti turut ditahan oleh SPRM atas dakwaan tuntutan palsu membabitkan dana penyelidikan berjumlah RM66,000,” katanya selepas menjadi tetamu kehormat Majlis Pelancaran Pelan Rangka Kerja Anti Rasuah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.
Majlis pelancaran itu disempurnakan Rektor UIAM, Prof. Emiritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.
Mengulas lanjut, Norazlan berkata, rasuah dan salah guna kuasa di institusi pengajian tinggi memberi implikasi yang serius kepada reputasi institusi intelek itu.
Jelas beliau, ia termasuk konflik kepentingan, salah urus kewangan dan penipuan perolehan, penipuan akreditasi, nepotisme dan pilih kasih dalam pengambilan dan kenaikan pangkat dan lain-lain penipuan.
“Tetapi yang paling merosakkan ia memusnahkan nilai teras kejujuran yang cuba diterapkan dalam kalangan penuntut pengajian tinggi. Natijahnya akan wujud masyarakat intelek baharu yang tidak lagi berpegang kepada nilai kejujuran, ia boleh membawa kepada bencana sosio-ekonomi sesebuah negara.
“Sebanyak 1,207,5931 pelajar mendaftar di universiti dalam tempoh tahun lalu yang mana sebanyak 589,879 orang pelajar di universiti awam diikuti swasta (517,580), politeknik (84,556) dan kolej komuniti (15,578) di seluruh Malaysia.
“Tanggungjawab kolektif dan akauntabiliti sebagai kumpulan pemegang jawatan di universiti atau pusat pengajian tinggi dan kita secara amnya perlu memastikan rasuah, amalan tidak beretika dan ketidakjujuran bukan warisan yang diperturunkan,” katanya. – UTUSAN