‘Saya ‘berkawan’ dengan cicak, lipas, jangan samakan situasi dengan Najib di penjara’

‘Saya ‘berkawan’ dengan cicak, lipas, jangan samakan situasi dengan Najib di penjara’

anwar
ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan situasi beliau semasa di penjara tidak sama seperti Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Anwar, beliau terpaksa menjalani hukuman penjara selama 10 tahun terlebih dahulu sebelum dapat menjalani rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC).

Katanya, pada ketika itu, beliau mengalami kesakitan di bahagian bahu sehinggakan tidak mampu mengangkat tangan dan perlu menjalani pembedahan di sana.

“UMNO kata Anwar boleh pergi (HRC) sebab apa Najib tak boleh? Boleh Najib nak pergi, tapi duduklah dulu (penjara) 10 tahun lepas itu baru pergi sana. Saya duduk dalam kurungan sebelum ini seorang diri, berkawan dengan cicak, lipas dan nyamuk.

“Kalau dia ada sakit, itu berbeza situasi pula. Saya nak penjelasan kalau doktor kata Najib sakit, tak apalah,” katanya dalam ceramah rapat rakyat di pekarangan Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis di sini malam tadi.

Sebelum ini media melaporkan desakan pelbagai pihak yang meminta penjelasan kerajaan mengenai dakwaan layanan istimewa diberikan kepada bekas Presiden UMNO itu yang dirujuk dengan nama kod Merpati dalam media sosial.

Dakwaan tersebut antaranya melibatkan pengubahsuaian ruang penjara untuk Najib dan rancangan untuk membawa beliau ke HRC bagi memudahkannya menerima tetamu dan mendapat kemudahan orang kenamaan (VIP).

Ekoran tular dakwaan itu, rata-rata netizen menggesa Jabatan Penjara supaya bersikap telus dan tidak menyembunyikan apa-apa perkara melibatkan dakwaan tersebut.

Jabatan Penjara sebelum ini turut mengesahkan Najib yang juga bekas Perdana Menteri ditempatkan di HRC bagi menjalani rawatan lanjutan setelah berada Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik sahaja pihak pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau.

HRC menyediakan perkhidmatan rehabilitasi pesakit luar selepas keluar dari hospital dan memberi kemudahan dalam menjalankan penilaian terhadap ketidakupayaan selepas sesuatu penyakit atau trauma. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×