Sanusi perlu serius dengan krisis air - BN Kedah

Sanusi perlu serius tangani krisis air – BN Kedah

MUHAMMAD Sanusi perlu bersikap lebih serius menangani krisis air yang terus menjadi rungutan rakyat Kedah.- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor perlu bersikap lebih tegas dan serius terhadap rungutan rakyat berkaitan krisis air di negeri ini daripada terus-menerus melindungi Syarikat Air Darul Aman (SADA) serta mempertahan kelemahan syarikat itu.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, ketika ini SADA pada hakikatnya masih gagal serta berada di takuk lama selaku pengendali perkhidmatan air bersih dan terawat kepada rakyat negeri ini.

Justeru, beliau turut menyarankan beberapa cadangan penambahbaikan termasuk mengurangkan kalangan Ahli Lembaga Pengarah SADA yang berlatar belakangkan politik.

“Saya menyarankan agar kuota 30 peratus diberikan kepada golongan profesional dan pemain industri manakala Ahli Lembaga Pengarah daripada latar belakang politik mesti dikurangkan.

“Ahli Lembaga Pengarah SADA mestilah dipenuhi mereka yang mempunyai pengetahuan berkenaan pengurusan air. Paling penting, kedudukan itu mesti diduduki mereka yang prihatin terhadap isu rakyat dan bukan mereka yang ingin menjadikan SADA sebagai sumber pendapatan pasif,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, ketika ini masalah air di Kuala Muda, Kuala Kedah, Pendang, Kulim-Bandar Baharu dan Pendang tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir.

Malah katanya, keadaan dilihat kian serius dan menekan, dengan limpahan rungutan kepada kerajaan negeri dan SADA bagai mencurah air ke daun keladi.

Menurutnya, kakitangan yang gagal mempamerkan prestasi baik harus dikeluarkan daripada syarikat tersebut termasuk individu terdiri daripada pegawai tertinggi dan pasukan pengurusan seperti Ketua Pegawai Eksekutifnya.

“Sekiranya ia dikepalai individu yang tidak cekap, tidak prihatin dan gagal menyelesaikan masalah, Menteri Besar mesti menunjukkan ketegasan. Gantikan dengan mereka yang profesional, lebih layak dan berupaya membawa perubahan,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menyarankan agar audit bebas dilaksanakan terhadap SADA dengan struktur, strategi dan pendekatan syarikat itu juga mesti diperkemas dan diperbaharui.

“Paling penting, laporan dan dapatan audit bebas ini harus dibentangkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dibahaskan dan diberi perhatian oleh semua wakil rakyat.

“Sekiranya SADA masih enggan melakukan perubahan yang sepatutnya, adalah tidak keterlaluan untuk gantikan saja syarikat itu dengan entiti lain yang lebih berkelayakan. Sektor perkhidmatan air di Kedah ini juga boleh dibuka agar lebih kompetitif atau selaku jalan akhir, pulangkan pengurusan air negeri kepada kerajaan Persekutuan,” katanya.

Selain itu, beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok turut menggesa agar pelan tindakan dan status semasa baik pulih bekalan air di Kedah dikongsi kepada umum, selain tindakan pemodenan dan pembaharuan infrastruktur air di negeri ini dilaksanakan segera.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN